Saturday, November 23, 2024
23.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    China lancar krew baharu ke stesen angkasa

    JIUQUAN, 30 OKT – China mengisytiharkan ‘kejayaan sepenuhnya’ selepas ia melancarkan tiga kru baharu ke stesen angkasa hari ini ketika negara itu berusaha mengembangkan penerokaan angkasa lepas dengan misi ke bulan dan seterusnya.

    Kapal angkasa Shenzhou-19 berlepas dari Pusat Pelancaran Satelit Jiuquan di barat laut China pada jam 4:27 pagi waktu tempatan di atas roket Long March-2F iaitu tulang belakang misi angkasa lepas China.

    “Keadaan anak kapal adalah baik dan pelancaran telah berjaya,” penyiar negeri China, Central Television mengumumkan.

    China membina stesen angkasanya sendiri selepas disisihkan daripada Stesen Angkasa Antarabangsa apabila Amerika Syarikat (AS) tidak sependapat dengan China.

    Pasukan dua lelaki dan seorang wanita akan menggantikan angkasawan yang telah tinggal di stesen angkasa Tiangong sejak enam bulan lalu dan dijangka kekal di sana sehingga April atau Mei tahun depan.

    Selain meletakkan stesen angkasa ke orbit, agensi angkasa China juga telah mendaratkan jentera penjelajah di Marikh.

    China bertujuan untuk meletakkan seseorang di bulan sebelum 2030 yang akan menjadikan China negara kedua selepas AS.

    Ia juga merancang untuk membina stesen penyelidikan di bulan dan telah pun memindahkan sampel batu dan tanah dari bahagian bulan yang jarang diterokai.

    China melancarkan misi kru pertamanya pada 2003, menjadi hanya negara ketiga berbuat demikian selepas bekas Kesatuan Soviet dan AS.

    Program angkasa lepas adalah sumber kebanggaan negara yang sangat besar dan ciri kemajuan teknologi China sejak dua dekad yang lalu. – AP

    Angkasawan China Wang Haoze, Song Lingdong dan Cai Xuzhe melambai sebelum berlepas untuk misi Shenzhou-19. – AP
    Kapal angkasa Shenzhou-19 di atas roket Long March berlepas dari Pusat Pelancaran Satelit Jiuquan di Jiuquan,China hari ini. – AP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda