Wednesday, October 30, 2024
32.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    China lancar laluan udara altitud rendah

    SHANGHAI, 12 OGOS – Laluan udara altitud rendah yang menghubungkan Shanghai dan wilayah jiran, Jiangsu, telah dilancarkan secara percubaan, dalam usaha China untuk memperkasa ekonomi altitud rendah negara itu.

    Sebuah helikopter penumpang komersial telah berlepas pada Sabtu lalu dari terminal di Kunshan dan tiba di pangkalan penerbangan Shanghai selepas kira-kira 30 minit, menandakan pelancaran rasmi percubaan laluan udara tersebut.

    Menurut Suruhanjaya Ekonomi Perbandaran Shanghai, mod pengangkutan itu mampu mengurangkan masa perjalanan antara kedua-dua lokasi itu sebanyak 1.5 jam.

    Operasi percubaan itu dijalankan oleh Shanghai New Sky Helicopter Co Ltd, sebuah syarikat penerbangan berpangkalan di Shanghai yang telah mendapat kelulusan daripada Pentadbiran Penerbangan Awam China (CAAC).

    Laluan itu dijangka akan dibuka secara rasmi pada 18 Ogos ini dengan harga tiket berharga kira-kira AS$224 hingga AS$252 seorang bagi setiap perjalanan.

    Laluan udara tersebut dijangka menarik 20,000 hingga 30,000 penumpang setahun dengan manfaat ekonomi operasi melebihi 10 juta yuan.

    Ekonomi altitud rendah merangkumi pelbagai sektor industri termasuk penyelidikan dan pembangunan pesawat, pembinaan dan operasi infrastruktur serta perkhidmatan berkaitan aktiviti penerbangan.

    Pengangkutan penumpang altitud rendah merupakan komponen penting dalam ekonomi negara berkenaan.

    Suruhanjaya Ekonomi Perbandaran Shanghai bersama agensi berkaitan kini giat mempromosikan pembangunan laluan udara altitud rendah di wilayah Delta Sungai Yangtze dan memperkukuh ekonomi altitud rendah Shanghai. – Xinhua

    Gambar Xinhua
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda