BEIJING, 12 OKT – China bakal melancarkan saluran Olimpik versi China bertujuan menyediakan perkhidmatan terbaik untuk Sukan Olimpik dan Paralimpik Musim Sejuk Beijing, kata Presiden Kumpulan Media China (CMG), Shen Haixiong.
Shen Haixiong berkata, misi utama saluran itu juga untuk mempromosikan aktiviti sukan ais dan salji dalam kalangan rakyat serta menyajikan temasya sukan budaya bertaraf tinggi kepada penonton di serata dunia.
“Saluran Olimpik itu adalah saluran berdefinisi tinggi 4K pertama di dunia bakal disiarkan di satelit selama 24 jam sehari. Ia juga menjadi saluran sukan pertama di dunia disiarkan serentak menerusi platform definisi ultra tinggi dan digital 4K, termasuk saluran televisyen Olimpik dan platform digital meliputi pengguna komputer, aplikasi dan media baharu seperti WeChat dan Weibo,” katanya dalam ucapan sempena Simposium Pelancaran Saluran Olimpik CMG di sini, kelmarin.
Simposium itu turut diserikan dengan kehadiran wakil Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC), pakar dan wakil atlet untuk bersama-sama berbincang mengenai pelancaran saluran itu.
“Pelancaran saluran itu juga mencerminkan pencapaian kerjasama strategik antara CMG dengan IOC,” katanya.
Shen Haixiong menyifatkan pelancaran saluran itu sebagai langkah penting CMG bagi menterjemahkan semangat dan saranan Presiden Xi Jinping, sekali gus mempromosikan perkembangan Sukan Olimpik di China. “CMG akan terus memperkasakan liputan Olimpik dan aktiviti sukan di China dengan lebih inovatif, menyumbang kepada menyemarakkan semangat Olimpik serta membina sebuah negara sukan yang kuat,” katanya. – Bernama