Wednesday, January 29, 2025
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    China lancar satelit meteorologi baharu

    TAIPEI, 16 APRIL – China hari ini berkata ia telah berjaya melancarkan satelit ke orbit, dengan pihak berkuasa di Taiwan berkata serpihan roket telah jatuh ke dalam laut, sebuah lokasi yang Beijing umumkan sebagai zon larangan belayar minggu ini.

    Pihak berkuasa maritim di wilayah Fujian, timur China minggu ini melarang kapal dari kawasan utara Taiwan dari 9 pagi hingga 3 petang waktu tempatan hari ini kerana ‘kemungkinan serpihan roket jatuh’.

    Kementerian pengangkutan Taiwan berkata Beijing juga merancang untuk melarang pesawat daripada memasuki zon itu yang melibatkan beberapa laluan antarabangsa selama kira-kira setengah jam dari 9:30 pagi, walaupun pihak berkuasa China kemudiannya mengkritik dakwaan itu sebagai tidak tepat.

    Pengumuman itu dibuat beberapa hari selepas Beijing mengisytiharkan penamatan latihan ketenteraan berskala besar di sekitar Taiwan yang dijalankan sebagai tindak balas berang terhadap lawatan pemimpinnya, Tsai Ingwen ke Amerika Syarikat baru-baru ini.

    Media kerajaan China hari ini mengumumkan kejayaan pelancaran “satelit meteorologi baharu” dari pusat angkasa di barat laut China pada 9:36 pagi.

    Rakaman yang dikeluarkan oleh penyiar kerajaan, CCTV menunjukkan roket putih menujah ke langit dari pusat pelancaran di wilayah Gansu, meninggalkan kepulan asap dan debu di belakangnya.

    Kementerian pertahanan Taipei berkata orbit satelit itu “melepasi lautan di luar pantai utara Taiwan” dan bahawa “beberapa serpihan roket jatuh ke kawasan amaran”.

    “Tentera telah menggunakan langkah risikan, pengawasan dan peninjauan bersama bagi memantau situasi pelancaran roket,” kata kementerian itu.

    Serpihan “tidak menjejaskan keselamatan tanah air kami”, tambahnya.
    Agensi berita Beijing, Xinhua melaporkan bahawa pelancaran roket Long March 4B telah membawa satelit Fengyun-3 07 “ke orbitnya”.

    Satelit itu ‘akan menyediakan perkhidmatan untuk ramalan cuaca, pencegahan dan mitigasi bencana, tindak balas perubahan iklim dan pemuliharaan ekologi’, menurut Xinhua. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda