Sunday, July 13, 2025
32.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    China lancar satelit Zhangheng 1B untuk pemantauan geofizik

    JIUQUAN, 15 JUN – China telah melancarkan roket pengangkut Long March 2D pada petang kelmarin dari Pusat Pelancaran Satelit Jiuquan yang terletak di Gurun Gobi, wilayah barat laut negara itu, bagi menghantar satelit pemantauan elektromagnetik ke angkasa lepas, menurut Pentadbiran Angkasa Negara China, CNA.

    Roket tersebut dilancarkan pada jam 3:56 petang dan tidak lama kemudian meletakkan satelit Zhangheng 1B – satelit pertama China yang didedikasikan untuk penyiasatan medan geofizik bumi – ke orbit yang telah ditetapkan, menandakan kejayaan misi pelancaran tersebut, menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh pentadbiran berkenaan.

    Pelancaran satelit itu merupakan pencapaian terbaharu dalam usaha meningkatkan keupayaan pemerhatian medan geofizik berasaskan angkasa negara itu dan dijangka akan terus memperkukuh keupayaan pemantauan bersepadu ruang-udara dan darat bagi menangani bencana alam utama, menurut kenyataan itu.

    Pentadbiran itu turut memaklumkan bahawa Zhangheng 1B merupakan hasil daripada memorandum persefahaman kerjasama yang dimeterai antara China dan Itali pada tahun 2019.

    Direka bentuk dengan jangka hayat selama enam tahun, satelit tersebut dilengkapi dengan sembilan muatan saintifik, termasuk pengesan medan elektrik yang dibangunkan secara bersama oleh China dan Itali, serta pengesan zarah tenaga tinggi yang dibangunkan oleh Itali.

    Kapal angkasa itu akan menjalankan pengukuran hampir masa nyata terhadap medan elektromagnet global, gelombang elektromagnet, ionosfera dan atmosfera neutral.

    Ia juga akan mengesan keabnormalan elektromagnet yang disebabkan oleh aktiviti geologi dan manusia, serta memperoleh maklumat mengenai kejadian ribut petir dan kilat dalam atmosfera.

    Usaha itu akan meningkatkan lagi keupayaan China dalam pengesanan awal, penilaian risiko dan amaran awal terhadap bencana alam besar seperti gempa bumi, tsunami, aktiviti gunung berapi dan ribut petir. – Xinhua

    Roket pembawa Long March-2D berlepas dari Pusat Pelancaran Satelit Jiuquan di barat laut China pada 14 Jun. – Xinhua
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda