Sunday, July 13, 2025
30.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    China lancar Shenzhou-12  

    JIUQUAN, 16 JUN – China akan melancarkan kapal angkasa pembawa angkasawan Shenzhou-12 tepat pada pukul 9:22 pagi Khamis.

    Penolong Ketua Pengarah Agensi Angkasa Lepas Manusia China (CMSA), Ji Qiming dalam satu sidang akhbar pada hari ini memaklumkan bahawa misi tersebut akan dijalankan oleh angkasawan Nie Haisheng, Liu Boming dan Tang Hongbo.

    Menurut Ji, kapal angkasa tersebut akan dilancarkan dari Pusat Pelancaran Satelit Jiuquan yang terletak di padang pasir Gobi barat laut China dengan roket pembawa Long March-2F Y12.

    Misi angkasa lepas Shenzhou-12 kali ini turut disifatkan sebagai projek penerbangan angkasa lepas yang membawa angkasawan pertama semasa pembinaan Stesen Angkasa Lepas China bertujuan menguji teknologi penting  berkenaan pembinaan dan pengoperasian stesen angkasa lepas.

    Ia termasuk penginapan angkasawan di angkasa lepas dalam jangka masa panjang, sistem sokongan hidup dan kitar semula, bekalan bahan keperluan di angkasa lepas, aktiviti dan operasi di luar kabin kapal angkasa lepas serta usaha penyelenggaraan dalam orbit.

    Tiga angkasawan tersebut dijadual menjalankan misi selama tiga bulan di modul teras stesen angkasa Tiangong, bernama Tianhe, yang ditempatkan di orbit pada 29 April.

    Sejumlah 11 misi dirancang dalam tempoh satu setengah tahun untuk menamatkan pembinaan stesen Tiangong di orbit, termasuk pemasangan panel solar dan dua modul makmal. – Bernama/AFP

    Angkasawan China (dari kiri) Tang Hongbo, Nie Haisheng dan Liu Boming melambai semasa sidang media di Pusat Pelancaran Satelit Jiuquan sebelum pelancaran Shenzhou-12 kelmarin. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda