BEIJING, 19 OGOS – China kelmarin melanjutkan siasatan anti-subsidi terhadap import tenusu Kesatuan Eropah (EU), satu lagi tamparan hebat dalam pertikaian perdagangan berterusan antara dua kuasa ekonomi gergasi itu.
Kementerian Perdagangan China dalam satu kenyataan berkata siasatan itu akan dilanjutkan selama enam bulan sehingga 21 Februari 2026 disebabkan ‘kerumitan kes’ berkenaan.
Beijing memulakan siasatan itu – yang meliputi import keju, susu dan krim tertentu – pada Ogos 2024, selepas EU bertindak mengenakan tarif import tinggi ke atas kenderaan elektrik (EV) buatan China.
EU berkata subsidi Beijing membantu jenama kenderaan China menjual pada harga lebih rendah berbanding pesaing Eropah.
Beijing menafikan dakwaan itu dan mengumumkan beberapa siasatan balas terhadap import daging khinzir, brandi dan produk tenusu dari Eropah.

EU telah mengenakan cukai import tambahan sehingga 35 peratus ke atas import EV China pada Oktober lalu.
Beijing kemudian mengemukakan aduan kepada Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO), yang pada April mengumumkan penubuhan panel pakar untuk menilai keputusan EU tersebut.
Pada bulan sama, Presiden Majlis Eropah, Antonio Costa berkata blok itu mahu melihat ‘kemajuan konkrit dalam isu berkaitan perdagangan dan ekonomi’ semasa sidang kemuncak EU-China di Beijing.
Namun, perbezaan besar masih wujud dalam perdagangan dan EU bimbang barangan subsidi dari China boleh membanjiri pasaran Eropah.
Kedua-dua pihak juga sedang berbincang mengenai penetapan harga minimum bagi EV China, tetapi masih belum mencapai sebarang persetujuan. – AFP

