KUNMING, 27 FEB – Grid Kuasa Selatan China (CSG) mengumumkan bahawa pembinaan projek jaringan transmisi kuasa 500 kilovolt (kV) hasil kerjasama China-Laos bermula secara rasmi kelmarin.
Menurut CSG, projek itu melibatkan pembinaan talian penghantaran sepanjang 183.5 kilometer (km) bermula dari provinsi Oudomxay di Laos ke provinsi Yunnan di China, selain pembangunan sebuah substesen baharu berkapasiti 500kV.
Projek itu dijadual beroperasi pada 2026, dengan kapasiti menyalurkan tiga bilion kilowatt-jam (kWh) elektrik bersih setiap tahun.
Naib Pengurus Syarikat Antarabangsa Lancang-Mekong CSG, Lin Rui berkata fasiliti berkenaan mampu meningkatkan kapasiti penghantaran kuasa dua hala antara China dengan Laos, yang dijangka mencapai 1.5 juta kilowatt. – Bernama
