BEIJING, 17 MAC – China melaporkan hari ini hanya satu jangkitan koronavirus (COVID-19) baharu dan mengesan 20 lagi kes yang diimport dari luar negara, mengancam dan menjejaskan perkembangan positif terhadap penyakit itu.
Kes tunggal itu di Wuhan akan meningkatkan pandangan bahawa China pada dasarnya begitu komited untuk membendung penyebaran penyakit yang dipercayai muncul di pasaran haiwan hidup di pusat bandar pada bulan Disember.
Wuhan dan 11 juta orang diletakkan di bawah kuarantin yang ketat sejak 23 Januari, dengan wilayah Hubei yang lain berada di bawah kawalan pada hari-hari berikutnya.
Pihak berkuasa mengetatkan sekatan di bandar secara lebih meluas pada 11 Februari lalu, mengenakan perintah berkurung ke atas penduduk di sini, tatkala para kakitangan perubatan bergelut menangani kes-kes jangkitan COVID-19 yang ketika itu mencecah 1,000 kes.
Bandar lain di seluruh negara membuat langkah selanjutnya untuk memaksa kebanyakan orang untuk tinggal di dalam rumah, dan tiada jangkitan baharu dalam negeri dikesan di luar Hubei selama beberapa hari berturut-turut.
Tetapi negara itu kini sedang menumpukan cara untuk menangani kemasukan kes dari luar negara, dengan purata 20,000 orang terbang ke China setiap hari. – AFP
