BEIJING, 7 NOV – China melaporkan kes COVID harian tertinggi dalam enam bulan hari ini, meskipun pelaksanaan sekatan ketat yang telah menjejas teruk pengeluaran, pendidikan dan kehidupan harian.
Beijing pada hujung minggu lalu mematahkan harapan dasar sifar COVID yang ketat – di mana sekatan, kuarantin dan ujian besar-besaran digunakan untuk membendung wabak – mungkin dilonggarkan tidak lama lagi.
Namun beberapa skandal berkaitan sekatan di mana penduduk mengadu tentang kekurangan makanan dan penangguhan penjagaan perubatan kecemasan telah menghakis keyakinan orang awam.
Negara itu mencatat lebih daripada 5,600 kes COVID baharu hari ini, hampir separuh di wilayah Guangdong, hab pengeluaran selatan dan tempat terletaknya pelabuhan utama.
Di Beijing, hampir 60 jangkitan baharu dikesan, mengakibatkan sekolah ditutup di daerah pusat bandar Chaoyang. Beberapa syarikat juga meminta kakitangan mereka bekerja dari rumah buat sementara waktu.
Ia dilakukan meskipun pihak berkuasa bandar berkata hari ini bahawa ‘wabak berterusan’ berjaya ‘dikawal,’ selepas kes baharu harian mencecah puluhan sejak seminggu lalu.
Di tengah China, sekatan ketat di kilang iPhone terbesar di dunia di Zhengzhou mendorong Apple mengingatkan bahawa pengeluaran mereka telah ‘terkesan’ dan pelanggan akan mengalami penangguhan dalam menerima tempahan mereka.
Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan China berjanji semalam akan berpegang kepada dasar sifar COVID, sekali gus menjejas pemulihan pasaran saham pada minggu lalu di sebalik desas-desas mengatakan Beijing akan melonggarkan dasar virus yang ketat. – AFP
