BEIJING, 17 JULAI – China berkata hari ini merkuri mencecah 52.2 darjah Celsius di barat laut negara itu pada hujung minggu, mencatatkan suhu rekod pada pertengahan Julai.
Sebuah stesen cuaca di kampung Sanbao di wilayah Xinjiang ‘mencatat suhu kemuncak 52.2 darjah Celsius pada 7 malam pada 16 Julai, memecahkan rekod haba bersejarah untuk tempoh yang sama tahun itu’, kata Pentadbiran Meteorologi China (CMA) dalam satu kenyataan.
Rekod sebelumnya pada 50.6 darjah Celsius telah dicatat pada Julai 2017, menurut kenyataan itu.
Xin Xin, seorang penganalisis yang bekerja untuk CMA, berkata dalam catatan di akaun Weibo bahawa 52.2 Celsius adalah ‘suhu tertinggi yang diukur di stesen serantau dalam negara yang pernah saya lihat’.
Sanbao terletak di pinggir bandar Turpan, di mana pihak berkuasa telah memberitahu pekerja dan pelajar untuk tinggal di rumah dan mengarahkan kenderaan khas menyembur air di jalan-jalan utama, kata badan meteorologi itu.
Suhu permukaan tanah mencecah 80 darjah Celsius di kawasan Turpan semalam, menurut kenyataan itu.
Pihak berkuasa China telah memberi amaran tentang cuaca ekstrem dan ‘pelbagai bencana alam’ pada musim panas ini. – AFP


