Thursday, February 6, 2025
22.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    China lulus undang-undang keselamatan yang digeruni

    HONG KONG, 30 JUN – China hari ini meluluskan undang-undang keselamatan bagi Hong Kong, sekali gus mencetuskan kebimbangan bahawa kebebasan dan autonomi kepulauan itu akan terhapus.

    Walaupun dikritik kebanyakan negara Barat, undang-undang berkenaan diluluskan sebulat suara oleh Parlimen China, hanya selepas enam minggu ia diperkenalkan.

    Seorang aktivis pro demokrasi, Joshua Wong, menerusi ciapan di Twitter, berkata ia menandakan berakhirnya Hong Kong yang dunia kenali sebelum ini.

    “Kuasa tanpa had dan undang-undang yang samar akan menukar bandar ini menjadi #secretpolicestate (negara polis rahsia),” katanya.

    Amerika Syarikat (AS), Britain, Kesatuan Eropah (EU) dan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) sudah berulang kali menyuarakan kebimbangan undang-undang baharu itu akan diguna bagi menyekat kritikan terhadap China.

    China sudah lama memiliki undang-undang tegas seumpamanya di tanah besar bagi menghancurkan sebarang tentangan. Undang-undang itu mengatasi perundangan di Hong Kong dan kandungannya masih dirahsiakan daripada 7.5 juta penduduk kepulauan itu.

    Sebelum ini, di bawah perjanjian Satu Negara, Dua Sistem, China berkata ia akan membiarkan Hong Kong mempertahankan kebebasan dan autonomi tertentu hingga 2047, termasuk kebebasan perundangan dan kehakiman. Namun, berikutan protes pro-demokrasi yang besar dan sering ganas selama beberapa bulan pada tahun lalu di Hong Kong mengubah pendirian China.

    Sebagai tindak balas, Beijing mengumumkan penggubalan undang-undang baru meliputi penindasan, pemisahan, pengganas dan pengaruh asing bagi mengembalikan kestabilan serta kebebasan politik utuh.

    Walaupun undang-undang yang agak kabur dan menimbulkan pelbagai persoalan itu sudah diluluskan, China masih terus membisu mengenainya, malah berita mengenainya hanya diketahui menerusi ahli politik pro-Beijing dan media tempatan.

    Pada sidang media mingguan pemimpin Hong Kong, Carrie Lam, yang juga calon lantikan pro-Beijing, enggan mengulas sama ada undang-undang berkenaan sudah diluluskan atau mengenai kandungannya. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda