Friday, May 9, 2025
31.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    China lulus undang-undang privasi baharu

    BEIJING, 20 OGOS – China meluluskan undang-undang privasi hari ini bertujuan menghalang perniagaan daripada mengumpul data peribadi sensitif, ketika negara berdepan peningkatan dalam komplot internet dan Beijing menyasarkan syarikat gergasi teknologi yang mengumpul data peribadi.

    Di bawah undang-undang baharu yang diluluskan oleh badan perundangan tertinggi China, entiti awam dan swasta yang mengendali maklumat peribadi diwajibkan mengurangkan pengumpulan data dan mendapatkan kebenaran daripada pengguna. Bagaimanapun, badan keselamatan China akan mengekalkan akses kepada sebahagian besar data peribadi.

    Peraturan baharu itu juga dijangka mengawal sektor teknologi China, dengan syarikat seperti Didi dan firma permainan Tencent menimbulkan kemarahan badan pengawal selia dalam beberapa bulan ini disebabkan penyalahgunaan data peribadi.

    Saham firma teknologi China termasuk Alibaba dan Tencent merosot selepas pengumuman pada pagi ini. Undang-undang itu bertujuan melindungi mereka yang “yakin data peribadi telah digunakan untuk profil pengguna dan berdasarkan cadangan algoritma atau penggunaan data besar dalam menetapkan harga yang tidak adil,” beritahu jurucakap Kongres Rakyat kepada agensi berita Xinhua pada awal minggu ini.

    Ia akan menghalang syarikat daripada menetap harga berlainan untuk perkhidmatan yang sama berdasarkan sejarah membeli-belah pelanggan. Undang-undang itu, yang berkuat kuasa pada 1 November, juga menetapkan data peribadi rakyat China tidak boleh dipindah ke negara dengan standard keselamatan data yang lebih rendah daripada China – peraturan yang mungkin menimbulkan masalah untuk perniagaan asing. – AFP

    Seorang wanita memegang payung berjalan di depan pejabat firma e-dagang Alibaba di Beijing. China memperketat kawalan ke atas data yang dikumpul oleh syarikat di bawah undang-undang yang diluluskan kelmarin. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda