Friday, April 19, 2024
30.4 C
Brunei

    -

    China lulus vaksin sedut pertama di dunia

    BEIJING, 5 SEPT – Pengawal selia ubat China telah meluluskan vaksin COVID-19 boleh sedut pertama di dunia, yang dihasilkan oleh pengeluar CanSino Biologics yang berpangkalan di Tianjin, mendorong harga saham syarikat itu sebanyak 7 peratus hari ini.

    Pentadbiran Produk Perubatan Kebangsaan memberi kebenaran vaksin itu digunakan untuk kecemasan sebagai penggalak, kata syarikat itu dalam satu kenyataan kepada Bursa Saham Hong Kong, kelmarin.

    Susulan pengumuman itu, saham syarikat melonjak 14 peratus hari ini sebelum ditutup 7.1 peratus lebih tinggi daripada nilai pembukaannya.

    Vaksin tanpa jarum – yang boleh disimpan dan diberikan dengan lebih mudah daripada suntikan intraotot – akan diberi melalui nebuliser, kata syarikat itu.

    “Kelulusan itu akan memberi impak positif kepada prestasi syarikat sekiranya vaksin itu dibeli dan digunakan oleh agensi kerajaan yang berkaitan,” tambah kenyataan itu.

    Pengunjung menunjukkan demonstrasi cara vaksin COVID CanSinoBIO jenis sedut. – China News Service

    Syarikat itu tidak menawarkan butiran mengenai bila vaksin vektor adenovirus akan diperoleh untuk kegunaan awam.

    Belum ada data yang disahkan atau semakan teliti mengenai keberkesanan vaksin baharu itu.

    Para saintis di beberapa buah negara termasuk Cuba, Kanada dan Amerika Syarikat juga sedang menguji vaksin COVID yang boleh sedut. China setakat ini telah meluluskan lapan lagi vaksin suntikan buatan tempatan sejak 2020.

    Tetapi pentadbir ubat-ubatan negara itu masih belum memberi kebenaran kepada mana-mana vaksin asing, termasuk suntikan mRNA yang dihasilkan oleh Pfizer/BioNTech atau Moderna yang mempunyai kadar keberkesanan yang lebih baik berbanding jenis vaksin lain.

    China adalah satu-satunya ekonomi utama yang berpegang kepada dasar sifar-COVID, menjejaskan perjalanan dan perniagaan.

    Para pegawai di seluruh negara itu kini di bawah tekanan untuk mengekang penularan virus tempatan menjelang mesyuarat politik penting bulan depan.

    Hab teknologi selatan Shenzhen, dengan lebih 18 juta penduduk, melaksanakan perintah berkurung pada hujung minggu di kebanyakan bahagian bandar pada Sabtu, manakala lebih daripada 21 juta orang di metropolis barat daya Chengdu sedang menjalani ujian besar-besaran hari ini hingga Rabu. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    India mula mengundi dalam pilihan raya terbesar dunia

    NEW DELHI, 19 APRIL - Berjuta-juta orang India mula mengundi pada hari ini dalam pilihan raya enam minggu yang merupakan referendum ke atas Narendra...