HONG KONG, 30 MAC – Pemimpin China hari ini mengesahkan penambahbaikan sistem pemilihan di Hong Kong, dengan mengurangkan jumlah kerusi yang dipilih secara langsung dan memastikan majoriti anggota parlimen di bandar itu akan dipilih oleh jawatankuasa pro-Beijing yang boleh dipercayai.
Pengumuman yang memintas badan perundangan Hong Kong dan dilaksanakan secara terus oleh Beijing itu adalah langkah terbaharu bertujuan menghentikan gerakan demokrasi di bandar berkenaan selepas tunjuk perasaan besar-besaran.
“Presiden Xi Jinping menandatangani arahan presiden untuk mengumumkan lampiran yang diubah,” kata agensi berita rasmi China, Xinhua dalam satu laporan pendek.
Penduduk Hong Kong berjumlah 7.5 juta orang masih tidak pasti mengenai kandungan undang-undang baharu itu kerana belum ada perincian yang dikeluarkan.
Bagaimanapun, Tam Yiu-chung, satu-satunya perwakilan Hong Kong di parlimen China, memberikan perincian mengenai kandungan langkah baharu berkenaan.
Di bawah undang-undang baharu itu, badan perundangan Hong Kong akan diperluas daripada 70 hingga 90 kerusi.
Yiu-chung berkata hanya 20 kerusi yang akan dipilih secara langsung, berbanding 35 sebelum ini.
Majoriti 40 kerusi akan dipilih oleh jawatankuasa pro-Beijing yang boleh dipercayai. – AFP