Monday, April 14, 2025
25.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    China, M’sia bincang kerjasama hadapi tarif AS

    BEIJING, 10 APRIL – Menteri Perdagangan China, Wang Wentao mengadakan perbincangan melalui atas talian dengan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, sementelah Malaysia memegang jawatan selaku Pengerusi ASEAN, menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Perdagangan China hari ini.

    Agensi berita Xinhua melaporkan, kedua-dua pihak berbincang secara mendalam dan terbuka berhubung pengukuhan kerjasama ekonomi serta perdagangan antara China dan Malaysia dan China-ASEAN di samping memberi respons bersama terhadap tarif timbal balik yang dikenakan Amerika Syarikat (AS).

    Wang berkata bahawa tindakan AS mengenakan tarif sedemikian mengabaikan keseimbangan kepentingan yang telah dicapai dengan susah payah melalui rundingan perdagangan pelbagai hala selama bertahun-tahun. Malah, AS telah lama menikmati manfaat besar daripada perdagangan global, katanya.

    Beliau menyifatkan tindakan itu sebagai satu bentuk penindasan unilateral yang jelas menjejaskan hak dan kepentingan sah negara lain, termasuk China dan negara-negara anggota ASEAN.

    Pendekatan AS itu bukan sahaja merugikan kepentingan negara itu sendiri, malah mengancam pertumbuhan ekonomi global serta kestabilan rantaian industri dan bekalan, sekali gus menimbulkan ancaman besar terhadap sistem perdagangan pelbagai hala, katanya.

    Wang turut menegaskan bahawa China menentang sekeras-kerasnya tindakan itu dan telah mengambil langkah balas yang tegas. China juga bersedia untuk mempertahankan hak sepenuhnya sekiranya AS terus berkeras dengan pendekatan sedemikian, kata Wang.

    Beliau turut menyatakan kesediaan China untuk memperkukuh komunikasi dan penyelarasan dengan rakan dagangan, termasuk ASEAN dalam usaha menyelesaikan kebimbangan bersama melalui dialog dan perundingan yang berteraskan sikap saling menghormati untuk melindungi sistem perdagangan pelbagai hala.

    Sementara itu, Tengku Zafrul pula menegaskan bahawa Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia mengeluarkan kenyataan membantah dasar AS, menyatakan bahawa ia bertentangan dengan prinsip perdagangan bebas dan adil seperti yang ditetapkan oleh Pertubuhan Perdagangan Dunia.

    Malaysia menghormati sepenuhnya pendirian China dan komited untuk menyokong multilateralisme serta kemajuan perdagangan global, katanya.

    Tengku Zafrul berkata bahawa Malaysia juga akan berbincang dengan negara-negara ASEAN lain bagi merangka tindak balas bersama terhadap tarif timbal balik dan dasar-dasar lain yang dicadangkan oleh Amerika Syarikat. – Bernama/Xinhua

    Datuk Seri Tengku Zafrul semasa berucap pada Persidangan Pelaburan ASEAN 2025, yang diadakan sempena Mesyuarat Menteri Kewangan dan Gabenor Bank Pusat ASEAN (AFMGM) ke-12 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 8 April. China dan Malaysia bekerjasama hadapi tarif AS. – Gambar fail Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda