Friday, December 6, 2024
22.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    China mula bina kapal kontena elektrik

    BEIJING, 6 NOV – Sebuah limbungan kapal di China telah memulakan pembinaan kapal kontena terbuka elektrik kelas 10,000 tan terbesar di dunia, lapor akhbar Science and Technology Daily, hari ini.

    Kedua-dua kapal pintar itu, masing-masing dengan kapasiti bersamaan kira-kira 740 unit dua puluh kaki (TEU), sedang dibina di wilayah Jiangxi, timur China. Pembinaan kapal laut elektrik tersebut menandakan permulaan era pengangkutan maritim bebas karbon bagi China, selaras dengan komitmen negara tersebut untuk mencapai puncak pelepasan karbon pada 2030 dan neutral karbon pada 2060.

    China kini menduduki tempat pertama di dunia daripada segi jumlah kontena yang diuruskan, di mana pengangkutan maritim antarabangsa menyumbang hampir satu pertiga daripada jumlah global pada tahun 2023.

    Kapal yang sedang dibina itu berukuran hampir 128 meter panjang dan direka untuk mencapai kelajuan maksimum 11.5 knot. Setiap kapal akan dikuasakan oleh 10 bateri berbentuk kontena yang boleh dicas semula di pelabuhan menggunakan kuasa pesisir voltan tinggi atau dengan menukar baterinya untuk pengisian tenaga yang cepat.

    “Bateri litium yang kami gunakan mempunyai keluaran kuasa keseluruhan 1,900 kilowatt, yang merupakan kapasiti terbesar di China,” kata Xu Haibo, seorang juruteknik dari pembina kapal tersebut.

    Selain itu, kapal itu juga dilengkapi dengan keupayaan pelayaran automatik di laut terbuka serta ciri-ciri pintar lain. Kapal-kapal itu dijadualkan akan dilancarkan pada Julai 2025 dan kapal pertama dijangka beroperasi pada tahun 2026, menurut Xu. – Xinhua

    Gambar Envato
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda