BEIJING, 20 JULAI – China secara rasmi memulakan pembinaan projek hidroelektrik di bahagian hilir Sungai Yarlung Tsangpo di Wilayah Autonomi Tibet, barat daya negara itu, dengan jumlah pelaburan kira-kira AS$167.2 bilion, menurut kenyataan di laman sesawang Majlis Negara Republik Rakyat China, lapor Sputnik/RIA Novosti.
“Perdana Menteri China, Li Qiang pada Sabtu mengumumkan permulaan pembinaan projek hidrokuasa di bahagian hilir Sungai Yarlung Zangbo,” menurut kenyataan itu.
Difahamkan projek itu akan melibatkan lima loji kuasa hidroelektrik lata dengan jumlah pelaburan dianggarkan sekitar AS$167.8 bilion.
Tenaga yang dijana akan dibekalkan terutamanya untuk kegunaan luar, selain memenuhi keperluan tempatan di Tibet.
Pembinaan projek hidroelektrik itu dikendalikan oleh China Yajiang Group Co yang juga bertanggungjawab mengoperasikan kemudahan itu selepas siap dibina.
Ketika ini, loji kuasa hidroelektrik terbesar di dunia ialah Sanxia (Three Gorges) yang terletak di Sungai Yangtze, Wilayah Hubei, tengah China.
Kapasiti reka bentuk loji itu ialah 22.4 juta kilowatt dan pembinaannya siap pada Oktober 2008.
Media China sebelum ini melaporkan bahawa kapasiti terpasang yang dirancang bagi loji baharu itu ialah 60 juta kilowatt, hampir tiga kali ganda kapasiti Sanxia. – Bernama
