BEIJING, 31 JULAI – Pihak berkuasa China telah menghubungi syarikat teknologi Amerika Syarikat (AS), Nvidia, bagi membincangkan tentang ‘isu keselamatan serius’ berkaitan versi cip kecerdasan buatan (AI) keluarannya, menurut kenyataan daripada pengawal selia internet tertinggi negara itu hari ini.
Nvidia kini terjerat dalam persaingan ekonomi dan teknologi yang sengit antara Beijing dan Washington, dengan akses China kepada cip separa konduktor canggih ‘H20’, syarikat itu memainkan peranan penting dalam kedua-dua negara tersebut.
Syarikat berpangkalan di California itu menyatakan awal bulan ini, mereka akan menyambung semula penjualan cip H20 ke China selepas Washington berjanji untuk menarik balik sekatan pelesenan yang telah menghalang eksport.
Namun, kebimbangan pihak AS masih wujud dan ahli-ahli parlimen AS telah mencadangkan agar Nvidia serta para pengeluar cip AI lain diwajibkan untuk menyertakan ciri penjejakan lokasi terbina dalam.
Pengawal selia internet utama China hari ini menyatakan mereka telah memanggil wakil Nvidia bagi membincangkan tentang ‘isu keselamatan serius’ yang baru ditemui berkaitan cip H20.
Syarikat itu telah membangunkan cip tersebut dengan versi kurang berkuasa bagi unit pemprosesan AI mereka yang dikhususkan untuk tujuan eksport ke China. – AFP


