Thursday, February 6, 2025
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    China, Pakistan rai ulang tahun ekonomi mega

    ISLAMABAD, 30 JULAI – Timbalan Perdana Menteri China, He Lifeng tiba di ibu negara Pakistan hari ini untuk meraikan ulang tahun ke-10 rancangan ekonomi mega yang menjadi asas kepada Inisiatif Jalur dan Laluan Beijing.

    Sejak dimulakan pada 2013, Koridor Ekonomi China-Pakistan (CPEC) telah menyaksikan puluhan bilion dolar disalurkan ke dalam projek pengangkutan, tenaga dan infrastruktur besar-besaran.

    Tetapi projek itu juga terjejas oleh Pakistan yang bergelut untuk melaksanakan kewajipan kewangannya serta serangan ke atas sasaran China oleh militan.

    “Selepas sedekad sejak penubuhannya, CPEC telah menunjukkan hasil keputusan yang berbeza,” kata Azeem Khalid, penolong profesor hubungan antarabangsa di COMSATS University Islamabad.

    “Matlamat utama untuk menghubungkan China dengan Laut Arab masih agak rendah dari segi pencapaian bagi China. Sebaliknya, Pakistan telah mencatat kemajuan yang ketara dalam mencapai objektif jangka pendek.”

    Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, Beijing telah menjadi salah satu rakan kongsi asing Islamabad yang paling boleh dipercayai – sedia memberikan bantuan kewangan untuk menyelamatkan jirannya yang menghadapi masalah.

    Awal minggu ini, Beijing memberikan Pakistan lanjutan selama dua tahun ke atas pinjaman AS$2.4 bilion, memberikan negara yang dibebani hutang itu ruang bernafas yang amat diperlukan ketika ia menangani krisis imbangan pembayaran.

    Laporan IMF tahun lepas berkata China dan bank perdagangannya memegang kira-kira 30 peratus daripada jumlah hutang luar negara Pakistan. – AFP

    Seorang lelaki berjalan melepasi bendera kebangsaan China dan Pakistan di jalan perlembagaan sebelum lawatan He Lifeng di Islamabad kelmarin. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda