Friday, May 9, 2025
26.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    China, Perancis lancar satelit untuk kaji perubahan iklim

    CHINA telah menghantar satelit pertamanya yang dibina dengan perkongsian dengan negara lain ke ruang angkasa baru-baru ini.

    Sebuah peranti telah dicipta untuk membantu para saintis untuk meramalkan bila akan berlakunya badai taufan yang berbahaya dan perubahan iklim dengan mengawasi keadaan angin dan keadaan ombak di permukaan laut.

    Roket yang membawa peranti itu dinamakan Long March 2C berlepas dari Pusat Pelancaran Satelit Jiuquan di barat laut Gobi-Gobi China baru-baru ini, menurut Pentadbiran Sains, Teknologi dan Industri Pertahanan Nasional China.

    Satelit seberat 650 kilogram, atau lebih dikenali China-France Oceanography Satellite (CFOSAT) merupakan satelit pertama yang dibina atas perkongsian bersama antara negara China dan Perancis serta akan membolehkan saintis iklim lebih memahami interaksi antara lautan dan atmosfera.

    Satelit ini dilengkapi dengan dua radar iaitu Spektrometer SWIM yang dibuat dari Perancis, yang akan berfungsi sebagai pengukur arah dan kepanjangan arus gelombang-gelombang dan SCAT China, sebuah skaterometer yang akan menganalisis tekanan dan arah angin. Data akan dikumpulkan dan dianalisis di kedua-dua buah negara.

    Roket yang membawa peranti itu dinamakan Long March 2C berlepas dari Pusat Pelancaran Satelit Jiuquan di barat laut Gobi-Gobi China baru-baru ini. – AFP
    Satelit seberat 650 kilogram, atau lebih dikenali China-France Oceanography Satellite (CFOSAT) merupakan satelit pertama yang dibina atas perkongsian bersama antara negara China dan Perancis. – AFP

    Instrumen ini membolehkan para saintis mengumpul maklumat mengenai keadaan angin dan gelombang lokasi yang sama dalam satu masa buat kali pertama, menurut Wang Lili, pereka utama satelit dengan China Academy of Space Technology, kata agensi berita rasmi Xinhua.

    “Teknologi ini akan membantu meningkatkan lagi pemerhatian dan ramalan-ramalan bencana, seperti gelombang besar dan ribut tropika serta menyediakan sokongan keselamatan untuk operasi dan kejuruteraan luar pesisir, kejuruteraan kapal, perikanan dan pengurusan pantai,” kata Zhao Jian, pegawai kanan di Pentadbiran Angkasa Negara China.

    Roket itu akan berjaya meletakkan satelit ke kawasan orbit sejauh 520 kilometer di atas bumi.

    Mencatat sejarah

    Pemimpin China, Xi Jinping dan Presiden Perancis, Emmanuel Macron bertukar-tukar ucapan tahniah dalam satu panggilan telefon, menurut agensi berita rasmi Xinhua.

    “Ia merupakan satu peristiwa bersejarah, ia adalah satelit pertama China yang dibuat melalui kerjasama dengan pihak antarabangsa,” kata Jean-Yves Le Gall, presiden Pusat Pengajian Angkasa Negara Perancis kepada AFP.

    “Satelit ini akan membantu meningkatkan kemajuan dalam memahami lagi akan perubahan iklim,” tambahnya.

    Projek ini bermula pada tahun 2007. Kedua-dua buah negara juga bekerjasama dalam misi Angkasa Objek Pemboleh ubah Angkasa (SVOM), yang akan melancarkan satelit pada tahun 2021 untuk mengesan dan mengkaji pecutan sinar gamma.

    China dan Perancis telah bekerjasama di ruang angkasa, dengan peranti kardiovaskular Perancis di sebuah makmal di China untuk memantau aktiviti-aktiviti anak-anak kapal. Makmal ini dijangka akan dilepaskan di orbit selepas bulan Julai tahun 2019.

    Le Gall berkata bahawa pihak Perancis juga bekerjasama dengan China bagi misi eksplorasi ke bulan dan Marikh.

    China bercadang untuk membina stesen angkasa lepas menjelang tahun 2022 dan menghantar misi ke bulan pada masa yang akan datang.

    “Pelancaran (CFOSAT) menunjukkan bahawa komuniti antarabangsa lebih bersedia untuk mempertimbangkan China sebagai rakan kongsi menyeluruh,” kata Jacqueline Myrrhe, pakar ruang angkasa di GoTaikonauts.com yang pakar dalam program angkasa China.

    “Satelit ini juga akan membolehkan Perancis mendapat peluang bagi melancarkan dan mendapatkan akses istimewa bagi menjalinkan kerjasama ruang angkasa dengan China dan siapa tahu, mungkin untuk meletakkan angkasawan Perancis di stesen angkasa China untuk masa depan,” kata Myrrhe.

    Kira-kira tiga jam selepas pelancaran itu, agensi angkasa Jepun menghantar roket membawa satelit yang akan memantau gas rumah hijau.

    Satelit ini secara rasmi dinamakan sebagai GOSAT-2, singkatan kepada ‘Gas rumah hijau yang mengamati satelit-2’ dan bertujuan untuk menyediakan data yang akan membantu Jepun membuat dan menerbitkan ‘inventori pelepasan’ output CO2 dari pelbagai negara, seperti yang digariskan di Paris atas persetujuan iklim. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda