BEIJING, 1 Julai – China hari ini memperkenalkan pemotongan tarif baharu yang besar dalam barangan pengguna dan kereta, untuk membantu meningkatkan produk importnya.
Tarif ke atas 1,449 barangan pengguna yang boleh dicukai dikurangkan daripada kadar purata 15.7 peratus kepada 6.9 peratus, termasuk peralatan rumah, makanan dan minuman, kosmetik dan ubat-ubatan, menurut Suruhanjaya Tarif Kastam bagi Majlis Negeri.
Ia merupakan perlaksanaan pusingan kelima pemotongan tarif untuk barangan pengguna sejak 2015.
“Mengurangkan tarif import bagi barangan pengguna harian secara signifikan adalah kondusif untuk memperluaskan import China dan berfungsi sebagai langkah utama dan tindakan inisiatif negara untuk membuka pasarannya,” kata suruhanjaya itu dalam satu kenyataan.
Sementara itu, kenderaan dan bahagian auto turut menyaksikan pengurangan tarif. Tarif 20 hingga 25 peratus untuk kereta dipotong sehingga 15 peratus, manakala duti pada bahagian auto diturunkan kepada 6 peratus daripada tahap sebelumnya 8 hingga 25 peratus.
Penganalisis berpendapat bahawa langkah-langkah intensif itu akan membantu China memenuhi permintaan domestik yang semakin meningkat, mencapai perdagangan seimbang dan berkongsi dividen pembangunan dengan negara-negara lain di seluruh dunia.
“Akses yang lebih luas bagi barangan asing akan membolehkan pengguna China menikmati produk yang lebih berkualiti dan mendorong syarikat domestik untuk meningkatkan daya saing mereka,” kata Zhang Jianping, penyelidik di Akademi Perdagangan Antarabangsa dan Kerjasama Ekonomi China.
Langkah itu adalah sebahagian daripada langkah-langkah baharu China untuk terus membuka pintu ekonominya, tatkala negara itu memperingati ulang tahun ke-40 pembaharuan ekonomi, faktor pertama dan terpenting di sebalik kejayaan perekonomiannya.
China telah menjadi pengimport barangan kedua terbesar dunia selama sembilan tahun berturut-turut dan memperoleh 10.2 peratus daripada import global tahun lepas.
Pihak berkuasa China mengharapkan negara itu akan mengimport barangan bernilai AS$24 trilion dalam masa 15 tahun ini.
Ekspo Import Antarabangsa China pertama akan diadakan di Shanghai pada November ini untuk meningkatkan perdagangan dan pertumbuhan ekonomi. – Xinhua