BEIJING, 8 OGOS – Firma yang menggunakan pengecaman wajah di China akan dikehendaki mendapatkan persetujuan atau kebenaran undang-undang sebelum mengumpul maklumat peribadi, menurut draf peraturan yang dikeluarkan hari ini. Namun, peraturan itu adalah terkecuali bagi beberapa badan tertentu.
China adalah salah satu masyarakat yang paling diawasi di dunia, dengan ribuan kamera CCTV yang dipasang di seluruh bandar dan teknologi pengecaman wajah digunakan secara meluas dalam segala hal daripada penguatkuasaan undang-undang harian kepada urusan politik.
Draf peraturan yang dikeluarkan oleh Pentadbiran Ruang Siber China memberi amaran bahawa penggunaan teknologi mesti ‘mematuhi undang-undang dan peraturan, mematuhi ketenteraman awam, menghormati moral sosial, memikul tanggungjawab sosial dan melaksana tugas untuk melindungi maklumat peribadi.’
Penggunaan teknologi untuk ‘menganalisis, etnik atau agama’ adalah dilarang, dan pemprosesan data wajah hanya boleh dijalankan dengan persetujuan individu atau kebenaran undang-undang bertulis, menurut undang-undang tersebut.
Ia juga tidak boleh digunakan untuk ‘membahayakan keselamatan negara, membahayakan kepentingan awam’ atau ‘mengganggu ketenteraman sosial,’ menurut peraturan itu. – AFP










