BEIJING, 6 OGOS – China mendedahkan inovasi terbaharunya dalam teknologi ketenteraan dengan memperkenalkan robot empat kaki dikenali sebagai ‘serigala’.
Ia direka khas untuk menghendap musuh secara senyap di medan perang, melakukan serangan tepat terhadap sasaran serta bergerak di rupa bumi yang sukar.
Menurut laporan penyiar rasmi CCTV hari ini, robot itu adalah versi dinaik taraf daripada model robot anjing tentera sebelum ini dan berfungsi sebagai pengganti askar dalam situasi peperangan berisiko tinggi untuk mengurangkan korban pertempuran.
China semakin giat mempamerkan kemajuan teknologi ketenteraan seperti robot bersenjata ketika menjalani latihan bersama negara seperti Kemboja, sebagai sebahagian daripada usaha meningkatkan keupayaan pertahanan.
CCTV menjelaskan bahawa berbanding robot anjing tentera sebelum ini, ‘serigala’ ini memiliki sistem peninjauan dan serangan yang lebih canggih, termasuk keupayaan menyerang dari jarak sehingga 100 meter.
Ketika perang, robot itu dikatakan boleh beroperasi secara berkumpulan seperti sekawan serigala sebenar, dengan setiap unit menjalankan tugas berbeza.
Unit ‘ketua kawanan’ bertindak mengumpul maklumat sasaran dan menghantar imej peninjauan, manakala robot lain bertanggungjawab membawa peluru atau melepaskan tembakan.
Pakar keselamatan dari Universiti Nasional Singapura, Chong Ja Ian berkata pendedahan teknologi itu bukan sahaja bertujuan menanam rasa bangga dalam kalangan rakyat China, tetapi juga menghantar mesej amaran kepada pihak lawan bahawa medan perang masa hadapan mungkin lebih automatik dan berbahaya. – AFP


