BEIJING, 9 OKT — Kementerian Perdagangan China mengumumkan hari ini langkah kawalan baharu terhadap eksport teknologi dan barangan berkaitan industri nadir bumi, menambah peraturan sedia ada bagi sektor strategik itu yang sering menjadi punca ketegangan dengan Washington.
China merupakan pengeluar utama mineral nadir bumi dunia yang penting dalam pembuatan magnet berteknologi tinggi, digunakan secara meluas dalam industri automotif, elektronik dan pertahanan.
Sejak April lalu, Beijing telah mewajibkan lesen khas bagi eksport tertentu melibatkan bahan tersebut, sekali gus menjejaskan rantaian pengeluaran global yang bergantung pada bekalan dari China.
Mineral nadir bumi menjadi antara isu paling sensitif dalam rundingan perdagangan antara China dan Amerika Syarikat (AS), dengan Washington menuduh Beijing melengah-lengahkan kelulusan lesen eksport bagi bahan strategik berkenaan.
Langkah kawalan baharu yang berkuat kuasa serta-merta itu mewajibkan pengeksport memperoleh kebenaran bagi penggunaan teknologi dalam aktiviti perlombongan, peleburan serta pemprosesan nadir bumi, menurut kenyataan rasmi kementerian perdagangan China.
Peraturan itu turut meliputi teknologi yang digunakan dalam ‘pemasangan, pelarasan, penyelenggaraan, pembaikan dan penambahbaikan barisan pengeluaran’, jelas kenyataan tersebut.
Selain itu, kementerian sama turut memaklumkan sekatan akan dikenakan terhadap entiti asing yang mengeksport barangan berkaitan keluar dari China, dengan syarat mereka perlu mendapatkan permit khas sebelum sebarang penghantaran dilakukan.
Permohonan eksport kepada pengguna ketenteraan luar negara pula tidak akan diluluskan, kata kementerian berkenaan.
“Sejak kebelakangan ini, beberapa organisasi dan individu luar negara yang telah memindahkan atau membekalkan barangan nadir bumi terkawal yang berasal dari China bagi kegunaan langsung atau tidak langsung dalam operasi ketenteraan, sama ada secara terus atau selepas diproses,” kata jurucakap kementerian dalam satu kenyataan.
Amalan tersebut, katanya, telah menyebabkan kerosakan serius dan ancaman besar terhadap keselamatan serta kepentingan negara China, selain memberi kesan negatif terhadap keamanan dan kestabilan antarabangsa. – AFP


