Monday, February 10, 2025
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    China perketat prosedur daftar masuk hotel bagi kanak-kanak

    BEIJING, 9 FEB – Pihak berkuasa keselamatan awam China memperketatkan keperluan daftar masuk hotel bagi kanak-kanak dalam usaha memastikan keselamatan mereka, menurut Kementerian Keselamatan Awam kelmarin, lapor Xinhua.

    Pengusaha hotel kini diwajibkan mengesahkan identiti kanak-kanak, mendapatkan maklumat penjaga, serta merekodkan butiran individu yang menemani mereka bagi mencegah jenayah seperti pemerdagangan kanak-kanak.

    Pada 2024, hotel di seluruh negara melaporkan lebih 42 juta daftar masuk kanak-kanak, sementara pihak berkuasa keselamatan awam menjalankan 522,000 pemeriksaan terhadap aktiviti yang mencurigakan, menurut kementerian itu.

    Kementerian turut mengeluarkan beberapa kes contoh berkaitan pemeriksaan maklumat kanak-kanak di kaunter hotel. Dalam satu kejadian pada September 2024 di Wilayah Heilongjiang, timur laut China, tiga individu dewasa cuba mendaftar masuk bersama seorang bayi tetapi gagal mengemukakan dokumen pengenalan sah bagi kanak-kanak itu.

    Kakitangan hotel segera melaporkan insiden itu kepada polis, yang kemudian mendapati bayi berkenaan  telah dilarikan. Hasilnya, kes pemerdagangan kanak-kanak berjaya diselesaikan.

    Dalam satu lagi kes pada Jun 2024 di sebuah hotel di Shanghai, dua kanak-kanak lelaki enggan memberikan maklumat penjaga mereka. Pihak hotel segera menghubungi polis, yang kemudian mendapati mereka telah melarikan diri dari rumah selepas bertengkar dengan ibu bapa. Pihak berkuasa memastikan mereka kembali dengan selamat. – Bernama/Xinhua

    China perketat prosedur daftar masuk hotel bagi kanak-kanak. – Gambar Pexels
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda