BEIJING, 9 APRIL – Lawatan pemimpin dan menteri luar dari beberapa negara Asia Tenggara ke China pada sejak kebelakangan ini memperlihatkan negara-negara terbabit sedang memperkukuh hubungan dengan China, menurut jurucakap Kementerian Luar China, Mao Ning dalam sidang akhbar kelmarin,
“China tidak berganjak daripada mempergiatkan kerjasama dengan negara-negara jiran, meningkatkan persefahaman dan memupuk rasa saling percaya bagi mewujudkan pembangunan dan kemakmuran bersama dengan berpandukan konsep diplomasi kejiranan yang dikemukakan oleh Presiden Xi, yang menekankan ‘mesra, ikhlas, situasi sama menang dan inklusif’,” kata Mao.
Menurut Mao, China dan ASEAN merupakan rakan dagang terbesar antara satu sama lain untuk empat tahun berturut-turut.
“Pada Januari dan Februari tahun ini, jumlah perdagangan antara China dan ASEAN meningkat 8.1 peratus kepada RM652.3 bilion. Negara-negara Asia Tenggara sudah menjadi rakan penting dalam pembinaan bersama di bawah Inisiatif Jalur dan Laluan.
“Sebilangan besar projek kerjasama, termasuk Kereta Api China-Laos, Kereta Api Berkelajuan Tinggi Jakarta-Bandung dan ‘Dua Negara, Dua Taman’ antara China dan Malaysia, berperanan kondusif dalam menjana pertumbuhan ekonomi tempatan demi manfaat rakyat.
“Pengecualian visa antara satu sama lain direalisasikan antara China dengan tiga negara Asia Tenggara, iaitu Singapura, Malaysia dan Thailand. Pelbagai aktiviti akan diadakan semasa Tahun Pertukaran Sosiobudaya China-ASEAN untuk meningkatkan persefahaman dan membina ikatan yang lebih erat antara rakyat kedua-dua pihak.
“Tahun ini menandakan ulang tahun ke-70 Lima Prinsip Wujud Bersama Secara Damai. Kami bersedia bekerjasama dengan negara-negara jiran untuk membina Asia menjadi kampung halaman yang aman, selamat, makmur, indah, muhibah dan harmoni untuk kita semua,” kata Mao. – Bernama


