BEIJING, 30 Ogos – China sedang bekerjasama dengan ahli-ahli Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu terhadap respons pelancaran peluru berpandu Korea Utara ke atas Jepun, kata Menteri Luar China, hari ini.
Menteri Luar Wang Yi bercakap beberapa jam selepas Majlis Keselamatan PBB sebulat suara mengutuk ujian kelmarin itu dan duta besar PBB Jepun mencadangkan supaya deklarasi sekatan baru dilaksanakan.
Wang berkata China – yang merupakan sekutu utama Pyongyang – kini bekerjasama dengan anggota Majlis Keselamatan yang lain untuk membincangkan perkembangan baru-baru ini mengenai keadaan tersebut.
Beliau menambah bahawa “berdasarkan kesepakatan ahli-ahli Majlis Keselamatan, kami akan membuat tindak balas yang diperlukan untuk pelancaran peluru berpandu baru-baru ini.
“Sama ada langkah baru akan berlaku, ia perlu dibincangkan oleh Majlis Keselamatan dan kesepakatan adalah perlu, ” kata Wang semasa sidang taklimat berita.

Menteri Luar itu berkata China menentang pelancaran peluru berpandu, yang katanya melanggar perjanjian antinuklear. Beliau menggesa untuk menyambung semula rundingan yang lama dan menggesa semua pihak untuk mengelakkan tindakan yang “boleh meningkatkan ketegangan”.
“Satu bahagian penting dalam resolusi Majlis Keselamatan – yang juga disepakati ahli Majlis Keselamatan – adalah kita harus terus berpegang teguh kepada keamanan dan diplomatik untuk menyelesaikan masalah ini,” kata Wang.
Beliau bercakap pada taklimat menjelang sidang kemuncak BRICS minggu depan yang dihoskan oleh China, yang turut melibatkan anggota Majlis Keselamatan Rusia bersama Brazil, India dan Afrika Selatan. – AFP