BEIJING, 3 FEB – China hari ini memberitahu bahawa mereka amat memerlukan peralatan perlindungan kesihatan, susulan penularan wabak berjangkit koronavirus yang sudah mengatasi krisis Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS), apabila 360 maut manakala lebih 17,000 penduduknya dijangkiti.
Ketakutan terhadap virus berkenaan mendorong orang ramai di negara dengan kepadatan 1.4 bilion penduduk itu untuk memborong topeng pernafasan pakai buang, menyebabkan petugas kesihatan di barisan hadapan berdepan masalah kekurangan peralatan itu. “Apa yang amat diperlukan ketika ini adalah topeng muka, sut perlindungan dan cermin mata keselamatan,” kata jurucakap kementerian luar, Hua Chunying dalam satu taklimat media.
Menurut kementerian perindustrian, kilang di China hanya mampu mengeluarkan kira-kira 20 juta topeng sehari.
Kementerian Luar berkata, negara asing seperti Korea Selatan, Jepun, Kazakhstan dan Hungary serta Malaysia turut menghulurkan bantuan dengan menyumbang topeng muka.
Tian Yulong dari kementerian perindustrian terdahulu hari ini berkata, pihak berkuasa mengambil pendekatan membawa masuk topeng dari Eropah, Jepun dan Amerika Syarikat (AS), sambil menambah, permintaan dan penawaran di China kekal seimbang apabila kilang kembali memulakan operasi selepas cuti Tahun Baharu Cina.
Katanya, semua premis berkenaan beroperasi dengan kapasiti antara 60 hingga 70 peratus.
Selain Hubei yang memiliki kepadatan 50 juta penduduk, beberapa wilayah lain melaksanakan pendekatan mewajibkan penduduk menggunakan topeng muka ketika berada tempat terbuka.
Ia termasuk Guandong, Sichuan, Jiangxi, Liaoning dan Nanjing, dengan jumlah keseluruhan penduduk di semua wilayah terbabit mencecah 300 juta.
Dalam pada itu, China mengatakan mayat mereka yang maut akibat wabak itu akan dibakar di tempat pembakaran mayat berdekatan dengan hospital.
Manakala masyarakat di China turut menawarkan ganjaran wang tunai, mengetuk pintu-pintu di rumah dan menyoal orang yang cuba memasuki kejiranan mereka-namun bukan untuk mencari penjenayah.
Mereka sedang mencari orang-orang yang datangnya dari Wuhan, bandar pusat epidemik virus yang mencetuskan kebimbangan dan panik bukan sahaja di China malah di luar-luar negara.
Dengan berakhirnya cuti Tahun Baharu Cina hujung minggu ini, kebimbangan meningkat bahawa koronavirus itu akan merebak lebih jauh lagi ketika orang ramai pulang dari cuti di seluruh negara itu.
Sebuah daerah di utara Shijiazhuang malah menawarkan insentif wang tunai 2,000 yuan bagi melaporkan sesiapa yang pernah membuat perjalanan ke Wuhan dalam dua minggu kebelakangan. Bagi sebahagian masyarakat, sesiapa yang mengunjungi wilayah tengah Hubei – ibu kota wilayah Wuhan – tidak lagi dialu-alukan.
“Meskipun mereka tinggal di sini, mereka tidak boleh masuk,” kata seorang pengawal keselamatan di jalan masuk sebuah kejiranan di Beijing apabila ditanya mengenai penduduk Hubei yang mula pulang.
“Mereka yang dari Hubei boleh membawa jangkitan ke sini,” dia memberitahu AFP, memakai topeng muka biru. “Jika anda dari Hubei, anda perlu maklumkan kepada jawatankuasa kejiranan.” – AFP/AP