LONDON, 25 APRIL – Penentangan tegas China serta langkah balas terhadap apa yang digelar Amerika Syarikat (AS) sebagai ‘tarif timbal balik’ bukan sahaja bertujuan melindungi kepentingan negara itu, tetapi juga mempertahankan sistem perdagangan pelbagai hala dan menegakkan keadilan antarabangsa, kata Duta Besar China ke United Kingdom (UK), Zheng Zeguang, kelmarin.
Beliau menyatakan demikian pada satu acara promosi pelaburan dan perniagaan untuk bandar pelabuhan utara China, Tianjin, yang diadakan di tengah London, lapor Xinhua.
Zheng berkata tarif timbal balik yang dikenakan AS terhadap semua rakan dagangnya, termasuk China dan UK, adalah ‘pelanggaran terang-terangan terhadap peraturan WTO serta tindakan melulu unilateralisme, perlindungan dan buli perdagangan.’
“Tindakan itu telah memberi tamparan hebat kepada sistem perdagangan pelbagai hala dan ekonomi global, serta menjejaskan kepentingan semua negara.”
Dalam beberapa hari kebelakangan ini, Washington mengeluarkan isyarat yang mengelirukan dengan mengumumkan tarif tinggi ke atas beberapa negara Asia, sambil menyatakan mereka akan mengurangkan dengan ketara tarif ke atas China, satu helah yang dilihat cuba mengurangkan kerugian sendiri dan mempengaruhi pasaran modal, kata duta itu.
Beliau mengulangi pendirian China bahawa sejak awal lagi, perang tarif dan perdagangan tidak membawa kemenangan kepada mana-mana pihak, sambil menegaskan bahawa China tidak mencari pertikaian, tetapi tidak akan gentar untuk menghadapinya dan bersedia bertindak jika perlu.
Zheng turut menekankan bahawa pintu rundingan sentiasa terbuka sekiranya AS mahu berbincang, namun ketika ini tiada sebarang rundingan sedang berlangsung antara kedua-dua negara.
Katanya, sebarang dialog harus berasaskan prinsip kesaksamaan, saling menghormati dan manfaat bersama, sambil menggesa AS meninggalkan pendekatan ‘tekanan maksimum, ugutan dan pemerasan.’
Beliau turut menyeru masyarakat antarabangsa agar bersatu dan bersama-sama menentang tindakan unilateral dan pembulian perdagangan. – Bernama
