SHANGHAI, CHINA, 3 APRIL – China melaporkan 13,000 kes jangkitan COVID-19 hari ini, angka tertinggi sejak gelombang pertama melanda lebih dua tahun lalu, ketika pegawai kesihatan berkata mereka telah menemukan subjenis baharu varian Omicron di kawasan Shanghai.
Strategi ‘sifar-COVID’ China di bawah tekanan ekstrem ketika virus itu melanda seluruh negara tersebut.
Sehingga Mac, China berjaya mengekalkan kes harian menurun kepada dua digit atau tiga, dengan melaksanakan sekatan ketat dan ujian besar-besaran serta menegah perjalanan keluar negara.
Namun kes itu telah memuncak beberapa minggu baru-baru ini kepada ribuan orang setiap hari, terutamanya di pusat wabak Shanghai, di mana jalan-jalan kelihatan lengang hari ini ketika 25 juta orang diarahkan berkurung.
Para pegawai di Suzhou, sebuah bandar kira-kira 30 minit ke barat Shanghai, telah mengesan mutasi varian Omicron yang tidak ditemui dalam pangkalan data tempatan mahupun antarabangsa, lapor media kerajaan hari ini.

“Ini bermaksud varian baharu Omicron telah ditemui secara tempatan,” kata Xinhua, memetik pegawai kesihatan, Zhang Jun, timbalan pengarah di Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Suzhou.
Penularan semasa itu juga menguji kesabaran China untuk mengenakan sekatan ketat, pada ketika kebanyakan negara lain sudah pun membuka semula sempadan mereka.
Hari ini, seramai 1.5 juta penduduk Baicheng di timur laut China telah menyertai puluhan juta penduduk China yang lainnya yang dikenakan sekatan pergerakan bulan lalu, menjejaskan pekerjaan dan ekonomi.
China merekodkan 13,146 kes hari ini, kata Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan dalam kenyataan, dengan ‘tidak ada kematian baharu’ dilaporkan.
Ia adalah jumlah jangkitan harian tertinggi negara itu sejak pertengahan Februari 2020.
Hampir 70 peratus jumlah kes negara itu ditemui di Shanghai, kata suruhanjaya, selepas ujian besar-besaran dilakukan ke atas 25 juta penduduk metropolis. – AFP