China, Rusia cadang PBB tarik balik sekatan

NEW YORK, 17 DIS – China dan Rusia kelmarin, mencadangkan agar sekatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke atas Korea Utara ditarik balik susulan kebimbangan rundingan yang diterajui Amerika Syarikat (AS) dengan negara itu hanya mencapai sedikit kemajuan, lapor agensi berita Turki Anadolu.

Menurut laporan media, Beijing dan Moscow berkongsi draf resolusi PBB di Majlis Keselamatan untuk menarik balik larangan Korea Utara mengeksport makanan laut dan tekstil oleh Korea Utara selain mengecualikan sekatan projek pembinaan rel dan jalan raya antara Korea daripada sekatan.

Dokumen itu turut menggesa agar rundingan enam pihak disambung semula, satu format rundingan ke arah pembasmian senjata nuklear yang menghimpunkan kedua-dua Korea, China, Rusia, Jepun dan AS, menurut laporan media. Diplomat Majlis Keselamatan dari 15 negara itu dijangka membincangkan draf dokumen tersebut minggu ini, meskipun masih belum jelas sama ada ia akan diterima oleh anggota dari negara Barat yang sudah lama mengambil pendirian menentang program senjata nuklear Pyongyang. – Bernama