WASHINGTON, 19 APRIL – China menyambung semula pembinaan kemudahan penyelidikan kelimanya di Antartika selepas tidak aktif selama bertahun-tahun, lapor DPA, memetik sebuah kumpulan pemikir keselamatan negara yang berpangkalan di Washington.
“Kehadiran fizikal Beijing semakin meningkat di wilayah kutub selatan yang berfungsi untuk memajukan kepentingan strategik dan ketenteraan China secara meluas,” kata Pusat Kajian Strategik dan Antarabangsa (CSIS) dalam laporan yang dikeluarkan kelmarin, berdasarkan imej satelit terbaharu.
Tanpa membuat sebarang tuntutan wilayah, China telah meluaskan kehadirannya di rantau yang kaya dengan sumber itu yang mencetuskan kebimbangan Barat bahawa Beijing mungkin mempunyai cita-cita ekonomi dan ketenteraan di benua terpencil itu.
Kemudahan terbaharu China itu terletak di Pulau Inexpressible, berhampiran Laut Ross, yang sepatutnya membantu “mengisi jurang besar dalam kehadiran China di pesisir pantai yang luas di benua itu,” menurut laporan tersebut.
Pembinaan bermula pada 2018 namun hanya sedikit kerja dijalankan selama bertahun-tahun. Kini, foto satelit menunjukkan ‘kemajuan ketara’ dibuat baru-baru ini.
“Apabila siap, stesen seluas 5,000 meter persegi itu dijangka merangkumi kawasan penyelidikan dan pemerhatian saintifik, kemudahan tenaga, bangunan utama, kemudahan logistik dan dermaga yang dibina untuk kapal pemecah ais Xuelong China,” kata laporan CSIS.
Pusat itu juga akan mempunyai stesen bumi satelit, yang dikatakan oleh kumpulan pemikir itu untuk kegunaan usaha saintifik dan operasi pengawasan meluas tentera China. – Bernama


