HANGZHOU, CHINA, 25 SEPT – China telah mendominasi Sukan Asia sejak 40 tahun lalu, dan edisi 2023 akan sama.
Negara tuan rumah memenangi 20 pingat emas, 30 secara keseluruhan, kelmarin hanya beberapa jam selepas majlis perasmian pada Sabtu yang diselia oleh Presiden Xi Jinping dan ditonton oleh 80,000 di Stadium Pusat Sukan Olimpik Hangzhou.
Pingat emas pertama temasya itu dimenangi oleh gandingan China, Zhou Jiaqi dan Qiu Xinping dalam acara mendayung ringan berganda wanita. China terus mendominasi selepas itu dan ramai yang sudah memandang ke Sukan Olimpik di Paris pada tahun depan.
“Melangkah ke podium hari ini adalah titik permulaan baharu,” kata Qiu. “Untuk mempersiapkan diri bagi Sukan Olimpik Paris tahun depan dengan semua kekuatan kami adalah sama seperti bermula dari awal.”
Rakan sepasukan Zhou menambah, “Ini dapat membantu kami membina keyakinan diri dan membantu kami membuat persediaan.”
Dua lagi pingat emas lain pada hari pertama diraih oleh Hong Kong, dalam acara mendayung beregu lelaki dan acara individu lelaki dalam fencing.
Hong Kong, bekas tanah jajahan British, telah kembali di bawah pemerintahan China pada 1997 dan telah berada di bawah kawalan yang ketat dari Beijing berikutan protes pro-demokrasi selama berbulan-bulan pada 2019. – AP