Sabtu, 22 November 2025
29.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    China sasar imbangi pembangunan import dan eksport

    BEIJING, 24 OKT – China mesti berusaha mencapai ‘pembangunan seimbang’ antara import dan eksport, kata Menteri Perdagangannya hari ini, sehari selepas mesyuarat mengenai keutamaan dasar masa depan negara itu berakhir di Beijing.

    Perbincangan tertutup selama empat hari yang bermula Isnin lalu itu melibatkan pegawai tinggi kerajaan yang merangka strategi jangka panjang bagi Pelan Lima Tahun ke-15, yang akan bermula tahun depan.

    Ketika ini, ekonomi kedua terbesar dunia itu berdepan ketidaktentuan akibat perbelanjaan domestik yang lembap, krisis berpanjangan dalam sektor hartanah serta perang perdagangan yang berlarutan dengan Amerika Syarikat (AS).

    Lebihan dagangan besar China dengan AS dan Kesatuan Eropah telah menerima kritikan daripada para pemimpin mereka yang menuduh Beijing membanjiri pasaran dengan barangan murah sehingga menjejaskan syarikat tempatan.

    Menteri Perdagangan China hari ini menegaskan bahawa negara itu perlu mengimbangi pembangunan import dan eksportnya. “Usaha perlu dilakukan untuk memperluas import… bagi memenuhi keperluan transformasi dan peningkatan industri serta keperluan rakyat untuk kehidupan yang lebih baik,” kata Wang Wentao kepada pemberita pada satu sidang akhbar.

    Lebihan dagangan China dengan AS mencecah AS$295.4 bilion tahun lalu, menurut Jabatan Perdagangan AS.

    Beijing sebelum ini berhati-hati untuk tidak mengubah keadaan semasa, namun perang perdagangan yang semakin meruncing kini melemahkan keupayaan pegawai China untuk bergantung kepada eksport bagi mendorong pertumbuhan kukuh tahun ini, walaupun eksport mencecah paras tertinggi pada 2024.

    Pemimpin China dalam kenyataan yang dikeluarkan kelmarin menekankan bahawa negara itu akan berkongsi peluang dan pembangunan bersama dengan negara-negara lain di seluruh dunia, satu perubahan halus daripada kenyataan terdahulu, beritahu Bert Hofman dari Universiti Nasional Singapura kepada AFP. – AFP

    Wang Wentao menghadiri sidang akhbar Jawatankuasa Pusat Parti Komunis China (CPC) di Beijing, kelmarin. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda