BEIJING, 12 MEI – Usaha China untuk mencapai matlamat ‘dinamik sifar COVID-19’ adalah bertujuan bagi mengekang penularan wabak dengan kos terendah dalam masa tersingkat.
Jurucakap Kementerian Luarnya, Zhao Lijian dalam satu sidang media, kelmarin, turut menafikan bahawa matlamat itu adalah bertujuan mengekalkan jangkitan sifar.
Menurut beliau, usaha itu adalah untuk melindungi kesihatan, kehidupan dan pengeluaran secara berkesan dan maksimum untuk 1.4 bilion rakyat China.
“Kebanyakan rakyat China sedang menjalani kehidupan dan pengeluaran seperti biasa. Kadar jangkitan COVID dan kadar kematian di negara ini kekal terendah di dunia.
“Satu tesis yang diterbitkan majalah ‘The Lancet’ pada Mac menunjukkan pandemik COVID dianggarkan telah meragut nyawa seramai 18.2 juta orang di seluruh dunia setakat ini.
“Menurut tesis itu kadar kematian mencatat 120 kes kematian bagi setiap 100,000 orang; kadar ini mencatat 179 bagi setiap 100,000 orang di Amerika Syarikat, manakala hanya 0.6 di China. Ini adalah hasil daripada dasar ‘dinamik sifar COVID’ di China.
“Langkah-langkah China dalam usaha mencegah dan mengawal pandemik terbukti berasaskan sains dan berkesan. China adalah satu daripada negara paling berjaya dalam pepera-ngan melawan wabak di dunia. Fakta ini turut diakui masyarakat antarabangsa.
“Dasar ‘dinamik sifar COVID’ China telah menawarkan perlindungan berkesan kepada golongan rentan seperti warga emas dan mereka yang mempunyai komorbiditi,” kata Zhao. – Bernama