Saturday, February 22, 2025
23.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    China sedia hospital khusus untuk pesakit Bangladesh

    DHAKA, 20 FEB – China berkata ia sedang menyediakan hospital khusus untuk pesakit Bangladesh selepas hubungan memburuk dengan bekas destinasi penjagaan kesihatan utama, India, sejak penyingkiran bekas pemimpin, Sheikh Hasina, tahun lepas.

    Duta Besar China ke Dhaka, Yao Wen, berkata tiga buah hospital telah ditetapkan khas untuk pesakit Bangladesh, dengan usaha dibuat untuk memperbaiki sistem perkhidmatan perubatan, termasuk memperkemas prosedur visa.

    The Business Standard, akhbar harian yang berpangkalan di Dhaka, menganggarkan lebih dua juta warga Bangladesh telah melawat India setiap tahun untuk tujuan perubatan sebelum Hasina dipaksa meninggalkan jawatannya pada Ogos.

    Bagaimanapun, hubungan antara New Delhi dan Dhaka menjadi dingin sejak Hasina – bekas sekutu rapat India – digulingkan dalam revolusi yang dipimpin oleh pelajar.
    Ramai warga Bangladesh kini mengadu kesukaran mendapatkan visa India.

    Yao Wen berkata Selasa lalu, penjagaan kesihatan hanyalah sebahagian daripada peningkatan kerjasama antara China dan kerajaan sementara yang menggantikan Hasina.

    “China telah menjadi pelabur terbesar di Bangladesh sejak penubuhan kerajaan sementara,” kata Yao dalam satu kenyataan.

    “Sejak 13 Ogos, syarikat China telah menandatangani perjanjian pelaburan dengan rakan kongsi Bangladesh, dengan jumlah pelaburan yang disasarkan kira-kira AS$230 juta.” – AFP

    Gambar Envato
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda