Wednesday, September 18, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    China sedia kerjasama rapat dengan Arab Saudi

    RIYADH, 12 SEPT – China bersedia merapatkan kerjasama dan maju seiring dengan Arab Saudi dalam jalan pembangunan bersama, kata Perdana Menteri China Li Qiang di sini, kelmarin.

    Beliau berkata demikian ketika mengadakan pertemuan dengan Putera Mahkota Arab Saudi merangkap Perdana Menteri Mohammed bin Salman Al Saud, dan bersama-sama mempengerusikan Mesyuarat Keempat Jawantankuasa Bersama Peringkat Tinggi China-Arab Saudi.

    Li mengesyorkan agar kedua-dua negara meningkatkan skop perdagangan dua hala, memperkasakan kerjasama dalam sektor tradisional seperti minyak dan gas asli, petrokimia, serta pembinaan infrastruktur, di samping menerokai bidang kerjasama yang baharu seperti tenaga baharu, teknologi maklumat, telekomunikasi, ekonomi digital dan lain-lain.

    “Kedua-dua negara harus saling menggalakkan syarikat tempatan melabur di negara lain, bersama-sama memelihara kestabilan rantaian bekalan dan rantaian perindustrian global. China bersedia meningkatkan penyelarasan pelbagai hala dengan Arab Saudi, mendorong perpaduan dan kerjasama negara Asia, demi mendorong tadbir urus global berkembang ke arah lebih adil dan rasional,” kata Li. 

    Putera Mahkota Mohammed berkata pihaknya berharap merapatkan pertukaran lawatan peringkat tinggi dengan China, memaksimumkan peranan mekanisme jawatankuasa bersama tersebut, meningkatkan kolaborasi dalam sektor tenaga, pelaburan, kebudayaan dan lain-lain.

    “Arab Saudi dan China mengamalkan prinsip menghormati kedaulatan negara lain dan tidak mencampuri isu domestik negara lain. Arab Saudi menyanjung tinggi pendirian adil China membabitkan isu Palestin, dan bersedia merapatkan penyelarasan dengan China dalam isu-isu global,” kata beliau.

    Mekanisme Jawatankuasa Bersama Peringkat Tinggi China-Arab Saudi yang ditubuhkan pada 2016 sempena lawatan rasmi Presiden China Xi Jinping, adalah untuk memperkasa dan menyelaraskan kerjasama kedua-dua negara dalam pelbagai bidang. – Bernama

    Gambar Freepik

     

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda