Sabtu, 22 November 2025
23.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    China sedia rapatkan hubungan dengan negara Arab

    BEIJING, 30 MEI – China komited bekerjasama dengan negara-negara Arab untuk membina hubungan China-Arab sebagai penanda dalam memelihara keamanan dan kestabilan dunia, kata Presiden China, Xi Jinping.

    Xi menyatakan demikian semasa menghadiri majlis perasmian Mesyuarat Peringkat Menteri ke-10 Forum Kerjasama China-Negara Arab (CASCF) dan menyampaikan ucaptama di Wisma Tamu Diaoyutai, hari ini.

    Presiden berkata China ingin berganding bahu dengan negara-negara Arab untuk menghormati misi dan prinsip Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), menghormati pilihan bebas rakyat di pelbagai negara dan menghormati realiti objektif yang lahir dalam pengembangan sejarah.

    “Selain itu, kita harus mencari cara penyelesaian yang kondusif bagi isu-isu hangat di dunia demi memelihara keadilan dan kesaksamaan serta mewujudkan keamanan dan kestabilan berkekalan,” kata Xi.

    Beliau menyatakan bahawa melalui usaha bersama kedua-dua pihak, ‘lapan inisiatif kerjasama utama’ untuk menggalakkan kerjasama praktikal antara China dan negara-negara Arab yang dianjurkan beliau sempena Sidang Kemuncak China-Arab pertama telah melakar hasil tuaian awal yang menggalakkan.

    “Berdasarkan hasil tersebut, China bersedia membina ‘lima kerangka kerjasama’ dengan negara-negara Arab untuk mempercepat pembinaan komuniti berkongsi nasib China-Arab,” kata Xi.

    Kerangka itu antara lain termasuk pembangunan dipacu inovasi yang lebih dinamik, pelaburan kewangan yang berskala lebih besar, kerjasama sumber tenaga yang lebih pelbagai, hubungan ekonomi dan perdagangan yang lebih seimbang serta pertukaran rakyat dengan rakyat yang lebih luas. 

    Xi berkata China berpuas hati dengan pelaksanaan persetujuan yang dicapai semasa Sidang Kemuncak China-Negara Arab pertama, di samping menzahirkan kesediaan untuk melonjakkan hubungan kedua-dua pihak ke tahap baharu. – Bernama

    Setiausaha Agung Liga Arab Ahmed Aboul Gheit menyampaikan ucapan semasa majlis perasmian CASCF ke-10 di Wisma Negeri Diaoyutai di Beijing, kelmarin. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda