BEIJING, 9 MAC – Pengendali penerbangan China sedang menyiasat pergaduhan antara kapten dan ketua pramugara yang dilaporkan ketika penerbangan penumpang domestik bulan lalu.
Pentadbiran Penerbangan Awam China mengatakan bahawa ia menganggap kejadian yang dilaporkan itu adalah sangat serius dan sedang mengumpul maklumat lebih lanjut. Segala kejadian yang membahayakan keselamatan penerbangan akan ditangani secara tegas di bawah undang-undang, kata kenyataan yang dikeluarkan kelmarin.
Laporan media China mengatakan, pergaduhan di udara berlaku pada penerbangan Donghai Airlines pada 20 Februari. Kapten dikatakan berang selepas keluar dari bilik mandi untuk mencari penumpang kelas satu yang menunggu di luar semasa keberadaannya di dalam, dan menuduh pramugara tidak menjalankan tugasnya dengan meminta penumpang untuk menunggu di tempat duduk mereka.
Menurut laporan itu, kedua-duanya kemudian bergaduh sehingga mengakibatkan kecederaan.
Penerbangan itu kira-kira 50 minit dari destinasinya di pusat bandar Xian selepas berlepas dari bandar pesisir Nantong berhampiran Shanghai.
Dalam satu kenyataan, Donghai Airlines meminta maaf dan mengatakan pihaknya sedang mengkaji protokol keselamatan. Mereka yang terlibat dalam kejadian itu juga telah dilaporkan digantung daripada bertugas, tetapi tidak mengatakan apakah mereka masih bekerja di syarikat itu dan tidak memberikan perincian mengenai perbalahan tersebut. – AP