BEIJING, 31 Ogos – Presiden China, Xi Jinping bertemu Presiden Somalia, Mohamed Abdullahi Mohamed hari ini menjelang Sidang Kemuncak Beijing 2018 bagi Forum Kerjasama China-Afrika (FOCAC).
Gembira dengan persahabatan yang lama terjalin antara China dan Somailia, Xi berkata Somalia adalah negara Afrika Timur pertama yang mengikat hubungan diplomatik dengan Republik Rakyat China (PRC) dan salah sebuah dari negara-negara yang mengusulkan untuk memulihkan kerusi yang sah bagi PRC di Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB). China mengucapkan tahniah kepada Somalia mengenai kemajuan baharu dalam pembinaan semula bagi kedamaian dan akan terus menyokong kerajaan itu dalam memajukan agenda politiknya, menggalakkan perdamaian sosial dan meningkatkan keupayaan tabir urus kerajaan, kata Xi.
China menyokong usaha Somalia dalam menjaga kedaulatan, keamanan dan integriti wilayahnya, kata beliau.

Xi menggesa kedua-dua pihak untuk mengukuhkan kerjasama dalam rangka Belt and Road Initiative (BRI), FOCAC, dan Forum Kerjasama Negara China-Arab.
Bagi pihak Somalia, Mohamed mengucapkan terima kasih kepada kerajaan China dan rakyatnya kerana memberi sokongan berterusan, serta menyatakan kekaguman beliau terhadap pencapaian China dan juga keinginan untuk belajar dari pengalaman pembangunan China.
Tambahnya, Somalia tegas berpegang pada dasar satu-China dan secara aktif mengambil bahagian dalam kerjasama BRI. Negara itu juga akan bekerjasama dengan China bagi membina komuniti China-Afrika untuk masa depan bersama dalam rangka FOCAC. – Xinhua