BEIJING, 18 SEPT – China telah menambah perbelanjaan ke atas arang batu ketika berdepan cuaca melampau, krisis tenaga domestik dan kenaikan harga tenaga global – mencetuskan kebimbangan dasar Beijing mungkin menghambat usaha memerangi perubahan iklim.
Negara itu merupakan pengeluar terbesar gas rumah hijau di dunia yang mencetuskan pemanasan global, dan Presiden Xi Jinping telah berjanji akan mengurangkan penggunaan arang batu mulai 2026 sebagai sebahagian daripada janji iklim yang lebih luas.
Beijing komited untuk mengehadkan pelepasan karbon menjelang 2030 dan mencapai karbon neutral pada 2060.
Pelepasan karbon di China pada keseluruhannya telah merosot selama empat suku berturut-turut di sebalik kemelesetan ekonomi, menurut penyelidikan yang dilaporkan oleh badan pengawas iklim Carbon Brief pada awal September.
Namun pada masa sama, pertumbuhan lembap telah mendorong pihak berkuasa bergantung pada industri cerobong asap dalam usaha merangsang ekonomi negara.
Usaha untuk menambah tenaga arang batu – yang masih membentuk kebanyakan bekalan tenaga China – telah menimbulkan kebimbangan penganalisis yang mengingatkan ia akan menyukarkan peralihan kepada tenaga yang boleh diperbaharui.
Bimbang mengenai kekurangan tenaga pada musim luruh lalu, pihak berkuasa China telah mengarahkan pengeluar arang batu menambah 300 juta tan kapasiti perlombongan pada tahun ini – bersamaan dengan tambahan pengeluaran arang batu satu bulan untuk negara.
Dalam suku pertama 2022 sahaja, badan pengawal selia menyokong separuh daripada keseluruhan kapasiti kilang tenaga arang batu yang diluluskan pada 2021, menurut Greenpeace. – AFP