Sabtu, 22 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    China tarik balik larangan eksport daging Australia

    CANBERRA, 12 DIS – China telah menarik balik larangan import ke atas tiga pembekal daging Australia sebagai satu lagi tanda peningkatan hubungan perdagangan antara kedua-dua negara, kata pegawai Australia hari ini.

    Agensi kastam China mengumumkan semalam bahawa ia menghapuskan larangan import daging lembu dan kambing dari ladang Australia JBS, sebuah syarikat makanan global dan dari Australian Lamb Company, kedua-duanya di negeri Victoria. Juga dari Teys Australia di negeri Australia Selatan, kata satu kenyataan kerajaan.

    China telah mengharamkan import daging merah dari 11 rumah penyembelihan Australia sejak 2020, memetik kes COVID-19 dalam kalangan kakitangan dan produk yang dilabel secara salah.

    Larangan itu dilihat sebagai sebahagian daripada pelbagai halangan perdagangan rasmi dan tidak rasmi yang dikenakan China untuk menghukum Australia berhubung dasar yang termasuk menyeru agar siasatan bebas mengenai asal-usul dan tindak balas terhadap wabak itu.

    China masih mengharamkan daging dari lapan rumah penyembelihan Australia yang lain. Pegawai Australia sedang berusaha untuk menyelesaikan ‘halangan teknikal untuk perdagangan’, kata kenyataan kerajaan itu

    Pemangku Perdana Menteri, Richard Marles berkata, menyambung semula eksport daging ke China adalah satu lagi langkah ke arah menstabilkan hubungan dua hala sejak kerajaan pimpinan Perdana Menteri Anthony Albanese dipilih tahun lalu.

    “Saya tidak akan membuat ramalan untuk masa hadapan, tetapi kami akan terus mengikut jalan yang kami lalui sekarang, yang bertujuan untuk menstabilkan hubungan dengan China,” Marles, yang mewakili Albanese semasa dia bercuti, kepada pemberita.

    China telah menarik balik kebanyakan halangan perdagangan hukumannya, yang menyebabkan pengeksport Australia merugikan AS$14 bilion setahun pada kemuncaknya, sejak kerajaan Australia berubah. – AP

    China telah menarik balik larangan import ke atas tiga pembekal daging Australia kelmarin. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda