SYDNEY, 20 DIS – China telah menarik balik larangan import udang karang batu hidup Australia, kata Canberra hari ini, sekali gus menghapus sekatan terakhir dalam perang perdagangan bernilai berbilion dolar antara kedua-dua negara itu.
Beijing telah mengharamkan atau mengenakan tarif balas terhadap eksport Australia bernilai lebih AS$12 bilion, daripada wain hingga kayu, sepanjang tempoh hubungan yang dingin selama bertahun-tahun dengan Canberra.
Perdagangan udang karang, bernilai AS$500,000 setahun, adalah yang terakhir daripada beberapa eksport utama Australia yang masih dikenakan sekatan selepas usaha diplomatik Australia selama beberapa bulan.
“China telah mengesahkan bahawa eksport udang karang batu hidup kami boleh disambung semula ke China,” kata Menteri Pertanian, Julie Collins kepada pemberita.
“Ini adalah berita baik untuk pengeluar dan penternak udang karang hidup kami di Australia, dan yang penting, ia bermakna mereka kini boleh memohon permit import untuk kembali ke pasaran ini.”
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2024/12/P10-Lead-China_21122024.jpg)
Udang karang adalah ‘sekatan perdagangan terakhir’ yang dikenakan oleh China, tambahnya.
China memperkenalkan larangan de facto terhadap udang karang batu hidup pada 2020 sementara tidak mengakui langkah itu – dan beberapa tarif lain – adalah berkaitan dengan krisis terburuk dalam hubungan dalam beberapa dekad.
Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese berkata pada Oktober bahawa Beijing akan membenarkan udang karang dibawa masuk selepas pertemuan dengan Perdana Menteri China, Li Qiang di Laos.
“Pembatalan sekatan ke atas udang karang menandakan penyelesaian semua halangan tertunggak terhadap perdagangan dari tempoh itu,” katanya dalam satu kenyataan.
Sebelum larangan itu, dianggarkan 97.7 peratus daripada eksport udang karang batu Australia telah dijual ke China, lebih daripada 1,600 tan setahun. – AFP