Sabtu, 22 November 2025
25.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    China tauliah kapal pengangkut pesawat ketiga

    BEIJING, 7 NOV – Kapal pengangkut pesawat ketiga China memasuki perkhidmatan selepas satu majlis penyerahan kepada angkatan laut diadakan minggu ini, lapor media kerajaan hari ini, menandakan satu pencapaian penting dalam usaha Presiden Xi Jinping bagi memodenkan tentera.

    Fujian menyertai armada China ketika Beijing berusaha menonjolkan kuasa maritimnya terhadap Amerika Syarikat (AS) dan negara lain di rantau ini, dengan titik panas termasuk pertikaian wilayah di Laut China Selatan dan ketegangan berterusan dengan Taiwan.

    Majlis perasmian rasmi, yang dihadiri oleh Xi, berlangsung di pelabuhan tentera laut di wilayah pulau selatan China, Hainan pada Rabu.

    Rakaman majlis yang disiarkan oleh penyiar negara CCTV menunjukkan Xi dan pegawai kanan Parti Komunis (CCP) hadir di pelabuhan tersebut.

    Penganalisis berkata, China masih ketinggalan berbanding AS yang mempunyai 11 kapal pengangkut pesawat dalam perkhidmatan, dari segi kekuatan ketenteraan secara keseluruhan.

    Namun, Beijing telah membelanjakan berbilion-bilion dolar untuk bidang pertahanan dalam beberapa tahun kebelakangan ini, satu trend yang membimbangkan beberapa kerajaan di Asia Timur meskipun China menegaskan tujuan mereka adalah untuk keamanan.

    Angkatan laut khususnya telah berkembang dengan pesat apabila pemimpin berusaha memperluas pengaruh China di Lautan Pasifik dan mencabar pakatan yang diketuai AS.

    Selepas menjalani ujian laut dalam beberapa bulan kebelakangan ini, Fujian kini menyertai dua kapal pengangkut pesawat lain China yang sedang beroperasi, Liaoning dan Shandong.

    Liaoning, dibina oleh Soviet, adalah kapal tertua dan mula berkhidmat pada 2012, manakala kapal Shandong pula mula beroperasi pada 2019.

    Penganalisis berkata, kapal pengangkut pesawat terbaru itu telah dilengkapi dengan sistem pelepasan pesawat lebih maju, membolehkan tentera udara China mengoperasi jet yang membawa muatan lebih besar dan lebih banyak bahan api. – AFP

    Gambar fail ini menunjukkan kapal pengangkut pesawat ketiga China, Fujian pada 11 Mei 2024. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda