Wednesday, March 26, 2025
23.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    China tekad perjuang globalisasi ekonomi, amal multilateralisme

    BEIJING, 23 MAC – Pemimpin nombor dua China memberitahu sekumpulan eksekutif perniagaan di Beijing hari ini bahawa negara itu akan terus memperjuangkan globalisasi ekonomi meskipun menghadapi ‘perpecahan’, satu rujukan tersirat terhadap ketegangan perdagangan yang tercetus akibat dasar Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.

    Forum Pembangunan China berlangsung selepas beberapa minggu yang menyaksikan Trump mengenakan beberapa pusingan tarif ke atas barangan dari China, mengancam salah satu nadi utama ekonomi negara itu di saat cabaran ekonomi berterusan.

    Para pemimpin China sedang berusaha menstabilkan ekonomi yang lemah sejak berakhirnya pandemik, terutamanya dengan merangsang perbelanjaan domestik.

    Mereka kini juga berusaha menonjolkan peranan China sebagai penyokong sistem ekonomi pelbagai hala, ketika Trump meneruskan perang tarif dengan rakan dagang utama AS termasuk China, Kanada dan Mexico.

    “China akan terus berdiri teguh di sisi sejarah yang betul, iaitu keadilan dan kesaksamaan, serta bertindak dengan cara yang benar di tengah era bergolak,” kata Perdana Menteri Li Qiang.

    Li Qiang (kanan) bertemu dengan Steve Daines di Bilik Fujian di Dewan Besar Rakyat, Beijing, kelmarin. – AFP

    Ucapan Li disampaikan pada pembukaan forum tahunan itu, yang turut dihadiri oleh tokoh perniagaan terkemuka termasuk Ketua Pegawai Eksekutif Apple, Tim Cook.

    Negara itu akan ‘berpegang teguh kepada hala tuju yang betul dalam globalisasi ekonomi, mengamalkan multilateralisme yang sebenar dan berusaha menjadi kuasa kestabilan serta kepastian, tegas Li.

    Dalam rujukan jelas kepada perang perdagangan yang kembali tercetus akibat dasar Trump, beliau menambah bahawa ‘pepecahan ekonomi global semakin meningkat,’ sementara ‘ketidakstabilan dan ketidakpastian terus bertambah.’

    Beijing dalam beberapa minggu kebelakangan ini menunjukkan kesediaan untuk berunding dengan Trump dalam rundingan perdagangan.

    Pada petang hari ini, Senator AS, Steve Daines mengadakan pertemuan dengan Li dalam lawatannya ke Beijing yang dilihat sebagai usaha untuk meredakan ketegangan antara kedua-dua negara.

    Menyertai senator Republikan dari Montana itu dalam perbincangan di Dewan Besar Rakyat Beijing ialah Ketua Pegawai Eksekutif syarikat-syarikat utama termasuk FedEx, Pfizer dan Qualcomm. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda