BEIJING, 14 NOV – Presiden China, Xi Jinping telah berjanji untuk mempererat hubungan dengan Thailand hari ini ketika mengadakan perbincangan dengan raja Thailand yang pertama kali membuat lawatan rasmi ke negara itu sejak hubungan diplomatik terjalin 50 tahun lalu.
Raja Maha Vajiralongkorn, yang jarang melakukan lawatan negara ke luar sejak menaiki takhta sembilan tahun lalu, berada di Beijing bersama isterinya, Ratu Suthida, untuk lawatan rasmi pertamanya ke China.
Menggambarkan kedua-dua negara sebagai “seperti keluarga”, Xi memberitahu pasangan diraja itu, China akan “mengukuhkan penjajaran strategik” dengan negara Asia Tenggara tersebut, menurut penyiar negara CCTV.
Beliau berkata, kerjasama akan diperluas dalam projek landasan kereta api China-Thailand serta bidang baharu seperti AI, aeroangkasa dan ekonomi digital.
“Pilihan Raja Vajiralongkorn menjadikan China sebagai negara utama pertama bagi lawatan negara, menunjukkan betapa pentingnya hubungan China-Thailand baginya,” kata Xi menurut CCTV.
Thailand merupakan sekutu utama Amerika Syarikat semasa Perang Dingin, tetapi kini China adalah rakan dagang terbesar negara itu dan hubungan Bangkok-Beijing semakin erat dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Kedua-dua negara baru-baru ini meningkatkan tindakan bersama membanteras penipuan telekomunikasi dan sindiket perjudian haram yang beroperasi di kawasan sempadan, kebanyakannya di Myanmar, dan sering menyasarkan warganegara China.
Pada Rabu, Thailand mengekstradisi She Zhijiang, seorang warga China yang didakwa terlibat dengan pusat penipuan besar di Myanmar dan dia telah ditahan di Thailand sejak 2022.
China juga berusaha untuk mewujudkan gencatan senjata antara Thailand dan Kemboja, rakan rapat Beijing, selepas pertempuran sempadan pada musim panas lalu menyebabkan berpuluh-puluh kematian.
Namun, gencatan itu kekal rapuh, apabila Thailand pada Isnin menggantung pelaksanaannya selepas mendakwa letupan periuk api yang baru dipasang telah mencederakan empat anggotanya.
Kedua-dua pihak kemudian saling menuduh berlaku pertempuran baharu di sepanjang sempadan mereka. – AFP

