BEIJING, 18 MEI – Sebuah bandar pelabuhan utama China yang bersempadan dengan Korea Utara telah melancarkan ujian COVID ke atas kesemua 7.5 juta penduduk bandar itu selepas negara jirannya bergelut dengan penularan pantas.
China melaksanakan strategi keras sifar COVID yang menyaksikan ibu kota Beijing dikenakan beberapa sekatan dan mengurung hampir keseluruhan daripada 25 juta penduduk di Shanghai di kediaman mereka selama berminggu-minggu.
Di seberang sempadan, Korea Utara mengumumkan lebih 1.7 juta jangkitan disahkan sejak minggu lalu, membuatkan pihak berkuasa China dalam keadaan bersiap sedia.
Pegawai-pegawai di Dalian – bandar pelabuhan kira-kira 300 kilometer dari Korea Utara – melaksanakan dasar ujian saringan secara kerap hari ini ke atas semua penduduk selepas merekodkan beberapa kes jangkitan sejak kebelakangan ini.
Pihak berkuasa bandar itu berkata lelaki dan wanita akan menjalani ujian pada hari berasingan, sekali gus mencetuskan kekeliruan.
Pihak berkuasa memberitahu media negeri bahawa ujian berasingan antara jantina akan membolehkan mereka untuk memantau isi rumah yang sama beberapa kali dalam seminggu.
“Ini adalah kali pertama saya mendengar mengenai ujian COVID mengikut jantina,” kata seorang pengguna media sosial di platform Weibo.
Golongan lelaki diberitahu untuk menjalani ujian saringan setiap hari Selasa dan golongan wanita pada setiap hari Khamis kemudian kedua-dua golongan akan menjalani ujian sekali lagi pada Sabtu.
Bandar-bandar lain di China turut mengetatkan sekatan ekoran penularan pantas di Korea Utara, dengan bandar pelabuhan di bahagian utara, Tianjian sebahagiannya menutup perkhidmatan kereta api bawah tanah ‘sebagai langkah pengawalan penyakit’, menurut laporan penyiar CCTV hari ini. – AFP
