Tuesday, December 24, 2024
23.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    China tingkatkan kemudahan hospital, ICU

    BEIJING, 11 DIS – Berdepan dengan peningkatan kes jangkitan COVID, China kini membangunkan lebih banyak kemudahan unit rawatan rapi (ICU) dan cuba mengukuhkan hospital-hospital selepas Beijing melonggarkan langkah sekatan yang mengurung jutaan penduduk, menjejaskan pertumbuhan ekonomi dan mencetuskan bantahan.

    Kerajaan pimpinan Presiden Xi Jinping secara rasmi mengesahkan komitmen untuk menghentikan penularan virus, negara utama terakhir yang mengambil langkah tersebut.

    Namun tindakan terbaharu itu menunjukkan parti pemerintah Komunis akan menerima lebih banyak kes tanpa mengenakan kuarantin atau menutup perjalanan dan perniagaan selepas ia melonggarkan strategi ‘sifar COVID’.

    Mesyuarat Kabinet kelmarin menggesa untuk ‘peningkatan sepenuhnya’ hospital-hospital termasuk menambah jumlah kakitangan bagi memastikan tindakan ‘merawat yang berkesan’ dan meningkatkan bekalan ubat-ubatan, menurut media negara.

    Pegawai-pegawai juga diberitahu supaya memantau keadaan kesihatan semua orang yang berusia 65 tahun dan ke atas.

    Para penduduk beratur di luar klinik di Beijing ketika China berdepan dengan lonjakan kes COVID susulan pelonggaran sekatan pada minggu lalu.- AP

    Namun masih belum jelas jumlah kes jangkitan yang telah meningkat sejak Beijing menamatkan ujian mandatori minggu lalu.

    Namun temu bual dan tinjauan akaun media sosial menunjukkan terdapat penularan di kawasan perniagaan dan sekolah di seluruh negara.

    Selain itu, beberapa buah restoran dan perniagaan lainnya juga ditutup kerana ramai kakitangan mereka jatuh sakit.

    Tapak ujian virus di kawasan kejiranan Runfeng Shuishang, Beijing, telah ditutup kerana kesemua kakitangannya dijangkiti, kerajaan pada kelmarin memaklumkan melalui akaun media sosial. “Sila bersabar,” menurut kenyataan.

    Hari ini, kerajaan melaporkan 10,815 kes baharu, termasuk 8,477 kes yang tidak menunjukkan sebarang gejala.- AP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda