BEIJING, 21 DIS – China hari ini berkata tidak ada kematian disebabkan COVID dicatatkan kelmarin, selepas kriteria bagi merekodkan kematian akibat koronavirus telah ditukar.
Hospital-hospital bergelut, almari farmasi kosong dan tapak pembakaran mayat terbeban selepas kerajaan China mengumumkan pelonggaran sekatan COVID.
China merekodkan seramai tujuh kematian akibat COVID – kesemuanya di Beijing – sejak dasar Sifar COVID dimansuhkan, tetapi mengeluarkan satu kematian daripada jumlah rasmi hari ini.
Tindakan itu dibuat berikutan pengumuman kerajaan yang menyatakan hanya mereka yang meninggal dunia secara langsung akibat masalah pernafasan berpunca daripada virus akan dikira sebagai kematian akibat COVID.
Sebelum ini, mereka yang meninggal dunia disebabkan penyakit ketika dijangkiti akan dikira sebagai kematian COVID.
“Ketika ini selepas dijangkiti dengan varian Omicron, punca utama kematian kekal disebabkan oleh penyakit sedia ada,” kata Wang Guiqiang dari Peking University First Hospital semasa sidang media di Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan (NHC), kelmarin.
“Warga emas yang mengalami keadaan kesihatan lain, hanya sebilangan kecil yang meninggal dunia disebabkan masalah pernafasan berpunca daripada jangkitan virus,” katanya.
Seorang pakar memberitahu AFP bahawa varian utama, Omicron, tidak memberi kesan kepada paru-paru seperti varian COVID yang lain, mengubah definisi akan menjadikan lebih banyak kes kematian tidak akan dikira.
“Definisi baharu ini akan memfokuskan kepada masalah pernafasan (yang berlaku apabila paru-paru tidak menerima oksigen yang mencukupi dalam darah) akan kehilangan sejumlah besar kematian COVID,” kata Yanzhong Huang, seorang rakan kanan untuk kesihatan global pada Majlis mengenai Hubungan Luar yang berpangkalan di New York.- AP


